Sekilas
- Khairul Aming jelaskan restoran barunya hanya mampu tampung 200 pelanggan sekali gus, bukan acara besar seperti konsert.
- Restoran guna sistem tempahan Umai yang terbaik setakat ini, tapi had kapasiti dan permintaan tinggi jadi cabaran utama.
- Beliau minta orang ramai beri ruang dan masa untuk perbaiki operasi kerana restoran baru beroperasi dua minggu.
Usahawan dan pemilik restoran viral Rembayung, Khairul Aming, tampil memberi penjelasan susulan reaksi orang ramai terhadap pembukaan restoran baharunya yang mendapat sambutan luar jangka.
Menerusi satu hantaran di Threads, Khairul Aming memohon agar orang ramai tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi seolah-olah dia menganjurkan sebuah konsert berskala besar, sebaliknya hanya membuka sebuah kedai makan dengan kapasiti terhad.
“Saya buka kedai makan je bang, saya mohon jangan letak expectation macam saya organize concert kat Bukit Jalil. Dalam kedai kita boleh handle 200 pax je maksimum dalam satu masa, tapi yang nak book ada 50,000 orang,” tulisnya.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih mencabar apabila setiap pelanggan turut hadir bersama ahli keluarga atau rakan, menjadikan jumlah pengunjung jauh melebihi kemampuan sebenar restoran tersebut.
Khairul Aming turut menjelaskan bahawa pihaknya menggunakan sistem Umai sebagai platform pengurusan tempahan kerana ia merupakan pilihan terbaik yang tersedia ketika ini untuk mengurus operasi restoran di Malaysia. Namun, sistem tersebut juga mempunyai keterbatasan apabila permintaan terlalu tinggi.
“Kita guna Umai sebab itu the best option yang ada untuk manage restoran di Malaysia. Tapi bila best option pun tak boleh tampung, kami tak boleh nak resolve isu ni sekelip mata,” jelasnya lagi.
Tambah Khairul Aming, restoran tersebut masih baharu dan baru beroperasi sekitar dua minggu, justeru beliau berharap orang ramai dapat memberikan sedikit ruang dan masa untuk pihaknya menambah baik sistem serta aliran operasi.
“Kedai baru buka dua minggu bang. Tolonglah bagi saya sedikit ruang,” luahnya lagi.

Penjelasan itu mendapat perhatian ramai pengikut yang rata-rata memahami cabaran mengurus perniagaan makanan dengan permintaan tinggi, selain menyuarakan sokongan agar orang ramai lebih bersabar dan realistik dalam meletakkan jangkaan.


