Artis Korea
Park Myung Soo Menyesal Tolak Tawaran Jadi Anggota Running Man - “Saya Terpaksa Pilih...”
Pengacara program realiti Korea, Park Myung Soo akui menyesal menolak tawaran untuk menjadi anggota Running Man.
Myung Soo mendedahkan perkara itu menerusi video terbaharu di akaun YouTube rasmi miliknya.
Video itu merakamkan Myung Soo menjawab pertanyaan daripada pengikut YouTubenya.
Antara soalan yang menarik perhatiannya adalah berkenaan dengan rasa kesal dengan keputusan yang dibuat sewaktu memilih untuk menolak sesuatu program realiti.
Menurut Myung Soo, pada ketika itu dia terpaksa membuat pilihan antara dua program iaitu Running Man dan Infinite Challenge.
“Running Man, saya ada menerima peluang untuk menjadi anggota Running Man pada pertengahan program tersebut.
“Namun ketika itu... Pihak produksi nampak agak kurang selesa untuk saya bersama dengan Infinite Challenge dan juga Running Man dalam masa yang sama.
“Jadi saya memilih untuk kekal bersama Infinite Challenge. Namun Running Man merupakan program realiti yang panjang. Sepatutnya saya kekal dengan Running Man,” katanya berseloroh.
Running Man mula ditayangkan pada 11 Julai 2010 dan anggota asalnya adalah Yoo Jae Suk, Jee Seok Jin, Kim Jongkook, HaHa, Song Ji Hyo, Kang Gary, Lee Kwang Soo, Song Joong Ki dan Lizzy.
Kini Running Man ditambah dengan dua ahli baru iaitu Jeon So Min dan Yang Se Chan selepas ketiadaan Song Joong Ki, Lizzy, serta Kang Gary.
Bagaimanapun pada 27 April lalu, Kwang Soo juga telah membuat keputusan mengejut apabila memilih untuk mengundurkan diri dari Running Man selepas 11 tahun bersama.
Keputusan itu dibuat kerana Kwang Soo memerlukan masa untuk pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya akibat kemalangan tahun lalu.
Tarikh penggambaran terakhir Kwang Soo adalah pada 24 Mei ini.
Sehingga 16 Mei 2021, sebanyak 555 episod Running Man telah ditayangkan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
Must-Watch Video