Penyanyi dan juga YouTuber popular Korea, Daud Kim kembali mengerjakan umrah di Tanah Suci, Makkah.

Daud Kim atau nama sebenarnya Jay Kim mengakui sepanjang berada di Makkah, dia berasa sangat tenang.

“Saya menjejakkan kaki ke Makkah sekali lagi. Tempat ini umpama ‘rumah’ saya, sangat menenangkan jiwa dan suci.

“Sebelum ini kehidupan saya sangat teruk. Saya fikir saya adalah orang yang paling tidak bertuah jadi saya sentiasa tercari-cari jawapannya.

“Akhirnya saya sedar saya bukanlah keseorangan, seseorang yang berada di samping saya cuba membawa saya ke jalan benar dan saya sedar, kewujudan Allah,” coretnya menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook miliknya.

Dalam hantaran yang sama juga, Daud menyatakan rasa syukur kerana menjadi insan terpilih yang diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam.

“Islam memberikan saya jawapan untuk setiap persoalan saya. Sebab mengapa saya dicipta, mengapa saya hidup. Dan akhirnya nanti, ke mana saya akan pergi selepas mati. Jadi saya berasa amat bertuah dipilih Allah.

“Kehidupan saya masih belum sempurna, kadang kala saya berdepab dengan banyak kritikan dan saya juga masih melakukan kesilapan (dosa).

“Tetapi saya seorang Muslim dan saya tidak akan berputus asa memohon keampunan daripada Allah SWT. Iman saya tidak akan pernah berubah, insya-Allah.

“Semoga Allah ampunkan segala dosa saya dan membimbing saya ke jalan yang benar. Moga Allah SWT memberkati hidup semua umat Islam. Sehingga kita berjumpa nanti di Jannah,” tulisnya.

Terdahulu, Daud memeluk Islam pada tahun 2020 disebabkan insiden atau serangan bom 11 September 2001 atau 911.

Daud sebelum ini sudah menunaikan umrah pada April tahun lalu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.