Abang kepada penyanyi, Dahlia iaitu Mohamad Syakir Iman meluahkan rasa kecewa terhadap kecaman keterlaluan yang dilemparkan kepada adiknya susulan perubahan imej tidak lagi mengenakan tudung.
Menurut Syakir, keluarga mereka memahami reaksi masyarakat, namun apa yang berlaku kini sudah melampaui batas.
“Keluarga kami memahami akan reaksi masyarakat, namun saya kecewa dengan kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap adik saya.
Advertisement
“Apabila Dahlia menyatakan dia kurang memahami agama sejak zaman persekolahan, maksudnya dia hanya mempelajarinya secara akademik, bukan secara rohani,” katanya.
Dalam pada itu, Syakir mengakui bahawa menutup aurat adalah kewajipan setiap Muslim namun percaya setiap individu mempunyai perjalanan rohani yang berbeza.
“Saya akur bahawa menutup aurat adalah kewajipan setiap Muslim, namun kita juga perlu memahami bahawa proses pematangan rohani berbeza bagi setiap individu.
“Saya berharap orang ramai dapat terus mendoakan agar Dahlia terus diberi hidayah dan kekuatan untuk mendalami agama dengan sebaiknya,” ujarnya.
Anak lelaki kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin turut menyeru masyarakat agar menjaga adab serta berhemah dalam menegur, selaras dengan ajaran Islam yang mementingkan akhlak dalam menyampaikan nasihat.
“Islam mengajar kita untuk menegur dengan adab. Saya sebagai ahli keluarga boleh menerima teguran jika disampaikan secara baik, tetapi malangnya ramai hanya mengecam demi kepuasan diri sendiri.
“Saya mendoakan agar Allah memberikan hidayah kepada mereka yang mengecam, dan kepada yang menyebarkan fitnah kononnya ibu bapa kami gagal mendidik Dahlia dengan ilmu agama, saya serahkan kepada Allah untuk memberikan balasan yang setimpal,” tambahnya.
Terdahulu, Dahlia menyorot perhatian netizen selepas tidak lagi mengenakan hijab.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas pilihan peribadi dan bukan kerana mahu mencetuskan kontroversi.
Dalam pada itu, Dahlia menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak lagi berhijab bukan sekadar soal penampilan, sebaliknya langkah untuk memulakan perjalanan baharu dalam memahami agama dengan lebih mendalam.