Sekilas
- Komposer Ajai menggesa penyanyi dan syarikat rakaman untuk lebih fokus menghasilkan album penuh atau EP bagi menonjolkan identiti dan perkembangan karya artis secara menyeluruh.
- Menurut Ajai, album penuh memudahkan penilaian kualiti muzik dan memberikan gambaran jelas tentang konsep serta hala tuju artis berbanding hanya single.
- Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) akan diadakan pada 26 September di Kuching dengan pengenalan dua kategori baharu bagi mengiktiraf kepelbagaian budaya muzik tempatan.
Komposer terkenal Ajai berharap lebih ramai penyanyi dan syarikat rakaman kembali memberi perhatian kepada penghasilan album penuh atau sekurang-kurangnya EP (extended play), berbanding hanya tampil dengan single semata-mata.
Menurut Ajai, yang juga ketua juri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), sesebuah album mampu memperlihatkan identiti, konsep serta perkembangan karya seseorang artis dengan lebih menyeluruh, sekali gus memudahkan proses penilaian terhadap kualiti muzik yang dihasilkan.
"Sekarang ini kami (juri) mahu menggalakkan artis merakamkan album penuh. Kalau bukan album penuh pun setidaknya EP.
"Pada saya kalau berdasarkan sebuah single (lagu), ia tidak melambangkan perjalanan album itu. Bila album yang ada lima atau 10 buah lagu, itu yang baru kita nampak perjalanan (nilai) album tersebut," katanya.
Komposer berusia 51 tahun itu berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media AIM25 yang diadakan di The Arch Galleries, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ajai memaklumkan penghasilan album penuh membolehkan konsep, identiti serta hala tuju seseorang artis dinilai dengan lebih jelas berbanding hanya menerusi sebuah lagu.
"Kita boleh tahu apa sebenarnya konsep yang dibawakan dalam album itu. Kalau sekadar menyanyikan lagu berentak balada contohnya, kita tak boleh habis kaji (buat penilaian) sebab terlalu terhad.
"Cuba kalau hasilkan sebuah album penuh, mungkin satu lagu tak sedap tapi lagu lain sedap, kita boleh nampak karya yang dipersembahkan dalam sebuah album apakah repertoirnya.
"Memang tak ada masalah kalau nak keluarkan single tapi tak nampak repertoir sedangkan sepatutnya kita (pengkarya) yang perlu hasilkan lagu buat pendengar. Pendengar hanya mendengar apa saja lagu dan konsep yang sedap berdasarkan apa industri beri," ujarnya.
Ajai bagaimanapun menjelaskan format single masih relevan dalam industri muzik masa kini dan tiada halangan untuk artis terus menggunakan pendekatan tersebut.
Namun, penghasilan album memberikan gambaran lebih lengkap terhadap kreativiti dan kemampuan seseorang pengkarya.
"Patutnya syarikat rakaman dah mula fokus untuk hasilkan album penuh atau EP sebab lebih adil kepada pendengar supaya mereka merasai dan mendengar perjalanan album itu sendiri.
"Dulu bajet pun bukan besar, satu lagu dalam RM3,000 ke RM4,000 tapi sekarang satu lagu lebih kurang RM15,000-RM20,000.
"Mungkin kalau kita dah kategorikan dalam satu album penuh, penerbit dah kena turunkan semula harga. Tak boleh guna harga buat single," katanya.
Untuk info, AIM25 bakal berlangsung pada 26 September depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.
Edisi kali ini turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik sebagai usaha mengiktiraf kepelbagaian budaya serta perkembangan landskap muzik tempatan.