All Star Championship 2025 terbukti sebagai pentas sukan tempur moden dengan gabungan sukan dan digital apabila 12 perlawanan tinju yang berlangsung Ahad lalu mencetuskan pelbagai kejutan, drama dan sorakan peminat.
Kejohanan sulung anjuran All Star Championship ini bukan sahaja menampilkan pertarungan sengit, malah mengangkat peranan sukan sebagai platform pelancongan dan digital.
Advertisement
Seramai 24 peserta bertanding dalam pusingan pertama, namun dua perlawanan terpaksa dibatalkan akibat kecederaan dan seorang peserta hadir lewat. Walau begitu, gelanggang tetap menyaksikan pertarungan penuh semangat, termasuk beberapa keputusan mengejutkan.
Antara sorotan utama:
• Fareez Fauzi, pelakon popular yang dianggap peserta underdog, berjaya menumbangkan lawannya, Sonic, sekali gus membuktikan bahawa semangat dan strategi mampu mengatasi jangkaan.

• Pelakon Harris Aliff pula tewas kepada Izat dalam pertarungan sengit yang mencuri perhatian ramai.
• Pempengaruh media sosial Amir Harris mencatat kemenangan bergaya apabila menewaskan Syahmi hanya dalam tempoh satu minit, menjadikannya antara aksi paling pantas setakat ini.
Selain aksi di gelanggang, penganjur turut mengumumkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM270,000 bakal direbut sepanjang kejohanan ini, menjadikan All Star Championship 2025 antara platform tinju tempatan paling berprestij dan bernilai tinggi.
Menurut Penganjur All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan, edisi sulung ini menzahirkan dua matlamat utama iaitu mengangkat sukan tinju ke tahap lebih profesional dan pada masa sama mempromosikan Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelancongan.
“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pusingan pertama semalam. Kehadiran penonton memang luar biasa, membuktikan minat masyarakat terhadap sukan tinju semakin meningkat. Dari segi penganjuran, semuanya berjalan lancar.
“Ada peserta underdog yang membuktikan kemampuan mereka, manakala peserta pilihan pula tewas kerana mungkin strategi atau latihan yang kurang. Ini menunjukkan All Star Championship benar-benar kompetitif.
“Secara tidak langsung, All Star Championship mempromosikan pelancongan domestik apabila mereka hadir ke Malaysia, seterusnya menghasilkan kandungan digital yang menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Dato’ Abd Rahman berharap pusingan seterusnya lebih sengit dengan tahap disiplin peserta yang lebih mantap, sambil menekankan harapan untuk melahirkan jaguh tinju baharu yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Pusingan seterusnya All Star Championship 2025 dijadual berlangsung pada 4 Oktober, manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 18 Oktober 2025, yang dijangka menjadi kemuncak terbesar kejohanan dengan lebih banyak aksi dan kejutan menanti.
