Penyanyi, Ammar Haikal berharap agar kakaknya yang juga finalis program Talk To My Manager 2 (TTMM2) iaitu Azeva Natassha bergelar juara pada konsert akhir program itu hujung minggu ini.
Menurut Ammar, dia dan keluarga sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Azeva meskipun mereka tidak dapat hadir ke pentas final atas komitmen kerja masing-masing.
“Harapan untuk kakak saya? Saya memang harap yang dia boleh bawa balik gelaran juara tu.
“Walaupun saya tahun lepas dapat nombor empat, saya memang nak tengok kakak saya lebih besar daripada saya.
“Saya nak dia jadi seorang juara kalau boleh. Itu memang harapan saya dan keluarga saya,” katanya kepada Gempak.
Ammar berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video single pertamanya yang berjudul Gila Bayang di XO House, pada Jumaat.
Ditanya mengenai dirinya yang sering dibandingkan dengan Azeva oleh sesetengah pihak, Ammar yang juga bekas finalis Talk To My Manager musim pertama tidak menganggap itu sebagai satu persaingan.
Sebaliknya, dia berasa bangga melihat perjalanan seni kakaknya yang semakin mendapat perhatian ramai.
“Bagi saya, perbandingan antara kakak saya dengan saya tu, saya tak ambil sebagai negatif pun.
“Saya lebih kepada bangga sebab kakak saya pun dah jadi seorang artis.
“Saya rasa dia ada pakej lengkap, ada rupa, ada suara dan karakter dia sendiri yang orang suka.
“Saya tak ambil benda tu sebagai persaingan. Saya lebih kepada menyokong dia,” ujarnya.
Malah, anak kepada penyanyi Ameng Spring ini memaklumkan dia sangat berbangga melihat perkembangan karier Azeva sebagai penyanyi.
“Saya memang sangat bangga dengan kakak saya. Dulu Azeva seorang yang sangat introvert, dia tak nak orang kenal dia sangat.
“Tapi bila saya tengok dia sekarang, hari-hari saya tengok siaran langsung dia, saya rasa macam, ‘Oh, kakak aku dah berjaya’.
“Sampai dah tercalon anugerah sana sini. Alhamdulillah, seorang lagi anak Ameng dalam dunia industri,” katanya.
Sekadar info, Azeva bakal berentap bersama empat lagi finalis TTMM2 yang lain bagi merebut gelaran juara.
Saksikan konsert Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.