Skip to main content

Viral

"Anak-Anak Rindukanmu... Deena Nangis Teresak-Esak, Terpaksa Pujuk Iqi..." - Suami Nadia Kesuma

kamarul+kabilan

Sekilas

  • Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkongsi kesedihan apabila anak-anak mereka masih sukar menerima pemergian pelakon Allahyarhamah Nadia Kesuma.
  • Beliau kini dalam perjalanan ke Jeddah untuk menguruskan jenazah arwah yang berada di Hospital King Fahad serta urusan berkaitan.
  • Jiran arwah memuji sifat ceria Nadia Kesuma dan mendedahkan penduduk setempat pernah mengadakan majlis doa untuknya sebelum berita pemergian disahkan.

Suami kepada pelakon Allahyarhamah Nadia Kesuma iaitu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkongsi detik pilu apabila anak-anak mereka masih sukar menerima pemergian ibu tersayang hingga ada yang menangis teresak-esak dan terpaksa dipujuk.

Perkara itu dikongsikan oleh pensyarah di Universiti Sains Malaysia itu, menerusi satu hantaran di Facebook. Beliau yang berusia 57 tahun merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara 11 hingga 15 tahun.

“Anak-anak juga sangat merinduimu, malah Deena menangis teresak-esak selepas menerima khabar pemergianmu, terpaksa pujuk Iqi kerana dia mahukanmu dan mahu ikut berjumpa denganmu,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, beliau turut memaklumkan menerima ratusan mesej ucapan takziah daripada rakan-rakan serta individu yang tidak dikenali susulan berita pemergian isterinya itu.

Muhammad Kamarul Kabilan turut meluahkan rasa rindu yang mendalam apabila mengimbau kenangan bersama Allahyarhamah Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, selain menyatakan kerinduannya untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Ketika ini, beliau bersama anak perempuannya sedang dalam perjalanan ke Jeddah, Arab Saudi, bagi menguruskan segala urusan berkaitan jenazah arwah yang kini berada di Hospital King Fahad, termasuk dokumentasi dan pengambilan barangan peribadi.

Sebelum ini, media melaporkan kematian Nadia Kesuma disahkan sendiri oleh suaminya menerusi hantaran di Facebook pada pagi Khamis. Muhammad Kamarul Kabilan memaklumkan bahawa isterinya meninggal dunia pada jam 8.07 pagi, hari yang sama pelakon itu dilaporkan gagal dikesan sejurus tiba di Jeddah.

Difahamkan, Allahyarhamah menyertai pakej Umrah–London–Paris di bawah sebuah agensi pelancongan bersama 21 jemaah lain, dengan penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.48 pagi Selasa lalu.

Must-Watch Video

Advertisement