Sekilas
- Pelakon Indonesia Annisa Kaila menerima kecaman netizen selepas membawakan watak antagonis Astrid dalam filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel.
- Annisa menghadapi cabaran mendalami watak tersebut kerana kekurangan maklumat dan perlu belajar merokok untuk watak itu.
- Filem Ozora mengangkat kisah benar penganiayaan kejam terhadap David Ozora dan akan ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 22 Januari 2026.
Pelakon Indonesia, Annisa Kaila berdepan kecaman netizen susulan keberaniannya membawakan watak antagonis sebagai Astrid dalam filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel.
Menurut Annisa, reaksi penonton terhadap wataknya begitu kuat sehingga ada yang terbawa-bawa emosi di luar layar.
“Ketika di pawagam baru-baru ini, ada ibu-ibu yang mencubit saya sebab terlalu geram, katanya. Tapi tak apa, saya okay dengan itu.
“Bagi saya, itu bermakna saya berjaya membawakan watak tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Annisa mengakui situasi itu agak mencabar apabila menerima pelbagai mesej dan komen negatif di media sosial.
“Memang banyak mesej peribadi masuk, ramai yang marah. Di ruangan komen Instagram pun ramai yang mencaci.
“Semuanya sebab watak Astrid. Sampai orang betul-betul benci, sedangkan itu bukan diri saya yang sebenar,” jelasnya.
Mengulas cabaran membawakan watak Astrid, Annisa berkata proses mendalami karakter tersebut bukan mudah kerana keterbatasan maklumat.
“Susah sebenarnya. Untuk cari karakter dia memang mencabar.
“Pertama, saya tak pernah berjumpa dengan individu sebenar. Kedua, tiada rakaman video kerana ketika kejadian berlaku, dia masih di bawah umur dan semua akaun media sosial ditutup,” katanya.
Menurut Annisa, satu-satunya cara untuk memahami watak itu adalah melalui perbualan dengan individu yang pernah berhubung secara langsung dengan pihak terlibat.
“Saya banyak berbual dengan Jonathan Latumahina dan juga David Ozora. Saya tanya tentang tingkah laku dia, cara bercakap, cara pegang rambut dan juga cara merokok ketika kejadian itu.
“Itu antara yang paling susah sebab saya sebenarnya tidak merokok. Filem ini jadi pengalaman pertama saya merokok dan itu satu cabaran besar.
“Memang saya perlu tunjukkan sisi sebenar watak itu, termasuk layanan ‘puteri’ dan pengesahan kuasa yang dia terima,” katanya.

Berpaksikan kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel mengangkat tragedi penganiayaan kejam yang menimpa David Ozora, serta perjuangan bapanya Jonathan Latumahina dalam menuntut keadilan.
Filem tersebut memfokuskan isu ketidakseimbangan sistem perundangan, pengaruh kuasa, suara rakyat serta perjalanan emosi dan spiritual keluarga mangsa.
Diarahkan oleh Umbara Brothers iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, filem ini diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films dan Dbay Film Factory.
Selain Annisa Kaila, filem ini turut dibintangi barisan pelakon ternama antaranya Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara dan Mathias Muchus.
Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026.