Penyanyi dan pelakon Bella Astillah, 31, memilih untuk tidak lagi mengulas apa-apa berkaitan bekas suaminya, Aliff Aziz, 34.
“Apa-apa saja berkaitan dengan bekas suami, saya enggan komen. Dia dah tiada dalam hidup saya,” katanya ringkas ketika diminta mengulas kenyataan Aliff dalam satu temubual bersama Berita Minggu Singapura, baru-baru ini.
Advertisement
Dalam temubual berkenaan, Aliff menyatakan rasa syukur kerana dua anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, dikelilingi orang yang menyayangi mereka. Katanya, hal itu membuatkan dia lega walaupun sudah lama tidak bersama.
Aliff juga meluahkan kerinduan mendalam terhadap anak-anaknya kerana dikatakan tidak lagi berhubung sejak awal tahun ini.
“Bukan senang terutamanya ramai pihak dan banyak hati yang saya nak jaga. Saya memang tak tahu bab itu. Jadi saya doakan yang terbaik untuk semua pihak. Itu saja,” tambah Bella.
Doa Untuk Kebahagiaan
Dalam masa sama, Aliff turut mendoakan kebahagiaan Bella yang kini hangat dikaitkan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Jelasnya lagi, fokus utama beliau kini adalah untuk memulihkan diri dan membina semula kehidupan selepas berdepan pelbagai ujian peribadi. Namun, kerinduan terhadap anak-anak tetap menjadi perkara paling utama.
Aliff mengakui belum berpeluang bertemu atau berhubung secara langsung dengan anak-anak, malah sukar menonton video mereka kerana terlalu sebak.