Sekilas
- Beto Kusyairy menjelaskan watak Along Alid dalam filem Libang Libu adalah cerminan realiti masyarakat dan tidak bertujuan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
- Pelakon itu menegaskan watak tersebut bersifat fiksyen dan tidak memerlukan kebenaran daripada mana-mana pihak untuk dilakonkan.
- Filem arahan Bobby Husaini ini kini sudah ditayangkan di pawagam dan menampilkan barisan pelakon seperti Beto, Nabila Huda, dan lain-lain.
Melakonkan watak sebagai Along Alid dalam filem terbaharunya yang berjudul Libang Libu, pelakon, Beto Kusyairy menegaskan dirinya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Menurut pemilik nama Nur Kusyairy Zakuan Osman ini, setiap watak yang dipaparkan dalam filem tersebut merupakan satu bentu cerminan kepada realiti yang wujud dalam masyarakat masa kini.
“Kenapa pula watak itu sensitif? Itu adalah realiti yang ada di dalam masyarakat kita. Sehingga kini, masih ada pihak yang berpewatakan seperti itu.
“Filem ini adalah cerminan kepada masyarakat. Apa yang kami tonjolkan itu adalah mencerminkan apa yang terjadi dalam komuniti.
“Melalui medium filem, kita paparkannya dalam bentuk yang santai dan menghiburkan.Kami tiada niat nak menghina,” katanya kepada Gempak.
Beto berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Libang Libu bertempat di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Beto, dia juga merasakan adalah tidak perlu untuknya mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak untuk menjayakan watak tersebut memandangkan ianya hanyalah bersifaf fiksyen semata-mata.
“Saya rasa tak perlu pun kita minta izin kepada sesiapa. Ini adalah watak fiksyen. Ia bukan watak yang perlu saya minta izin daripada waris atau sebagainya.
“Ini adalah watak yang dicipta. Saya tak nampak sebarang keperluan untuk minta kebenaran kepada sesiapa,” katanya lagi.
Filem Libang Libu arahan Bobby Husaini kini sudah pun menemui penonton di seluruh pawagam. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang dibintangi Beto, Nabila Huda, Ozlynn Wati, Razak Ahmad, Sabri Yunus dan ramai lagi ini di pawaga berdekatan anda.