Skip to main content

Hiburan

Filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai Lebih Seram, Bikin Penonton Tak Senang Duduk - “Kru Produksi Juga Alami Kejadian Misteri”

Menjelang Magrib 2

Sekilas

  • Filem seram Indonesia, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, kini ditayangkan di pawagam Malaysia dan mendapat sambutan positif kerana lebih menyeramkan.
  • Pengarah Helfi Kardit menekankan penggunaan ilmu mistik Rawa Rontek dalam filem ini untuk memberikan kelainan dan latar tahun 1920 sewaktu penjajahan Belanda.
  • Semasa penggambaran di Gunung Pandayan, kru produksi mengalami kejadian mistik yang menyebabkan lokasi penggambaran dipindahkan.

Filem seram Indonesia, Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai sudah pun memasuki pawagam Malaysia dan meraih respon positif daripada penonton yang menganggap naskhah kedua bagi francais filem ini lebih menyeramkan.

Menurut pengarah, Helfi Kardit, untuk filem ini beliau menekankan ilmu Rawa Rontek yang merupakan sebuah ilmu kebal mistik masyarakat Jawa.

Ujarnya, pendekatan itu diambil kerana mahu memberi kelainan dalam naskhah seram yang pernah dihasilkannya.

“Kalau di Indonesia, Rawa Rontek memang sudah terkenal iaitu apabila kepala yang dipenggal dan badan bertemu, kemudian dia pijak ke bumi. Mereka akan hidup lagi.

“Oleh itu mereka percaya, kepala yang sudah dipotong perlu dipisahkan daripada tubuh. Mungkin hal seperti itu jarang didengar di Malaysia,” katanya kepada Gempak.

Helfi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai bertempat di 1 Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bercerita pula tentang suasana di lokasi penggambaran, Helfi memaklumkan bahawa dia dan kru produksi berdepan dengan kejadian mistik di mana mereka ternampak kepala manusia di sebatang sungai berdekatan.

“Penggambaran dilakukan di Gunung Pandayan, Jawa Barat. Waktu itu sekitar pukul tiga pagi, kami sedang berehat seketika. Sejuk sekali keadaan ketika itu.

“Kebetulan, ada sebatang sungai. Apabila kru alihkan lampu, ternampak kepala dalam aliran sungai itu. Memang seram.

“Saya kemudian ambil keputusan untuk pindahkan lokasi penggambaran,” ujarnya.

Perjelas Helfi, dia percaya bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Ilmu Rawa Rontek yang dibawakannya di dalam filem.

“Mungkin kerana saya membuat film tentang Rawa Rontek iaitu kepala dipenggal boleh kembali lagi. Tapi  entah macam mana boleh ada kepala dalam aliran sungai itu? Saya bingung juga.

“Tapi saya tidak mahu fikir banyak. Kita tukar sahaja lokasi penggambaran,” kongsinya.

Sekadar info, filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai merupakan sekuel kepada filem Menjelang Magrib yang ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu.

Filem kedua ini menceritakan tentang seorang doktor yang mahu menyelamatkan gadis yang mempunyai sakit misteri menyebabkannya dipasung di Desa Karuhan.

Helfi yang juga selaku penulis lakon layar mengambil latar tahun 1920 sewaktu Indonesia masih dijajah Belanda.

Filem Menjelang Magrib 2 sudah pun mula ditayangkan pada 20 November lalu dan anda boleh mendapat tiket bagi menyaksikan filem seram ini di pawagam berdekatan anda.

Must-Watch Video

Advertisement