Sekilas
- Fitri Haris berkongsi pengalaman menerima mesej lucah daripada seorang ustaz dan seorang individu bergelar Datuk.
- Beliau tidak terkejut dengan penahanan golongan profesional dalam kes serbuan pusat sauna yang tular baru-baru ini.
- Fitri berharap insiden ini membuka mata masyarakat bahawa salah tetap salah walaupun dilakukan oleh golongan berjawatan tinggi.
Penyanyi dan usahawan, Fitri Haris, berkongsi pengalaman pernah menerima mesej berbaur lucah daripada seorang ustaz dan seorang individu bergelar Datuk.
Perkongsian itu dibuat selepas tular kes penahanan 201 individu, termasuk penjawat awam, dalam serbuan polis ke atas sebuah pusat sauna dipercayai menjadi lokasi kegiatan hubungan songsang membabitkan golongan sejenis.
Menurut Fitri, dia tidak terkejut apabila wujud golongan profesional terlibat dalam aktiviti sedemikian kerana dia sendiri pernah melalui pengalaman yang hampir sama.
“Saya pernah kena ngorat oleh ustaz dan Datuk. Jadi bila polis tangkap yang ‘professional’, ‘berpangkat’, ‘berjawatan’ ni… memang tak pelik langsung.
“Dia tiba-tiba tanya saya, ‘Fitri open minded tak?’ Lepas tu hantar gambar *** dia.
“Saya terkejut macam kena siram air sejuk.
“Dalam kepala saya cuma fikir: ‘Ustaz… soalan tu bukan dalam silibus agama!’,” katanya.
Kongsinya lagi, pengalaman kedua pula melibatkan seorang lelaki bergelar Datuk yang sering menghantar mesej manja sebelum bertukar menjadi semakin lucah.
“Setiap hari mesej manja, lepas tu naik level jadi mesej pelik-pelik, emoji pun saya tak pernah guna.
“Saya cuma mampu fikir: ‘Datuk, tolonglah… saya ni pensyarah, bukan operator hotline percintaan jam 12 malam!’” tulisnya.
Mengulas isu serbuan sauna itu, berharap insiden sebegitu membuka mata masyarakat bahawa salah tetap salah walaupun dilakukan oleh sesiapa sahaja.
“Harap serbuan macam ni buka mata semua orang. Benda salah tetap salah, walaupun pakai tuala mahal,” ujarnya.