Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Rahmat Ekamatra mengakui tidak menyangka kehadirannya di pentas pertandingan nyanyian itu masih mendapat sambutan hangat daripada peminat, meskipun lagu-lagu nyanyiannya popular sekitar tiga dekad lalu.
Menurut Rahmat, penyertaannya dalam GV12 adalah atas undangan pihak Astro dan dia berasa bersyukur apabila diberi peluang untuk kembali berdiri di pentas besar.
“Saya masuk GV ini adalah untuk memenuhi undangan daripada pihak Astro. Jadi saya rasa bertuah sebab dapat udangan macam tu.
“Saya pun tidak sangka di GV dapat menarik banyak peminat dan saya rasa bertuah sebab saya dapat lihat banyak peminat yang masih boleh menyanyi lagu saya meskipun lagu-lagu itu popular pada 35 tahun yang lalu,” katanya.
Tambah Rahmat, dia tidak meletakkan tekanan besar terhadap diri sendiri sepanjang pertandingan, sebaliknya menganggap setiap persembahan sebagai sebuah konsert.
Pelantun lagu Mendua itu juga menegaskan dia kekal dengan identiti muziknya sebagai seorang rockers dan enggan mengubah gaya semata-mata untuk memenuhi kehendak pertandingan.
“Pada saya tidaklah susah sangat, saya buat macam konsert sahaja. Tak perlu nak fikir lebih-lebih sangat.
“Saya adalah saya, bila saya nyanyi saya memang rockers. Dan saya akan bawakan lagu genre saya. Peminat juga mahukan saya begitu. Saya tak boleh nak joget-joget macam itu, dan mereka juga yang angkat saya dan saya rasa bertuah sebab mereka hargai apa yang saya buat,” tambahnya.
Terdahulu, Rahmat Ekamatra terpaksa akur dengan keputusan selepas diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu ketujuh.
Menyanyikan lagu Hakikat Sebuah Cinta nyanyian asal Iklim, Rahmat hanya berjaya memperoleh markah sebanyak 59.9 peratus daripada juri tetap.