Sekilas
- Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil menampilkan persembahan vokal dan pentas yang sempurna, merangkumi lagu-lagu hit dari tiga dekad kerjaya Siti.
- Lebih 63,000 peminat dari pelbagai generasi dan negara hadir, menikmati pengalaman muzik yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan dan gubahan baru oleh Aubrey Suwito.
- Siti Nurhaliza kekal relevan dan menjadi ikon seni yang menyatukan peminat Nusantara, dengan pengaruh yang melangkaui sekadar konsert dan lagu.
Hakikat yang perlu diperakui tentang Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai saksi nyata tiga dekad perjalanan seni biduanita negara adalah konsert itu sempurna di mata Sitizoners.
Tiada pincang - baik dari segi vokal puspita hati yang cukup menikam jantung hati seperti dulu-dulu; persembahan Siti yang meledak tawa kecil saat beliau berdansa dengan gerakan sederhana tetapi ‘sampai’, atau; penyediaan pentas dari segi pencahayaan, LED serta impian Siti dengan beberapa kostum menyapa seluruh isi stadium dengan berdiri di atas kren terlaksana.



Semuanya tampak sempurna seperti direncana. Sementelah segmen-segmen persembahan yang dibahagi kepada Dekad 1, Dekad 2 dan Dekad 3 dengan satu-persatu tembang hit Siti baik dari zaman menjejak kaki ke industri seni tempatan sehingga mahsyur seantero Nusantara lalu membawa pulang pengiktirafan demi pengiktirafan menjadi bukti bahawa 30 tahun ini, Siti memang telah membina legasinya tersendiri.
Dibuka dengan lagu ikonik Purnama Merindu, Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dibawa Cuckoo dengan Affin Bank sebagai penaja utama, turut menyampaikan tembang lain seperti Satu Cinta Dua Jiwa, Percayalah, Aku Cinta Padamu (sekadar menyebut beberapa judul)

Duet bersama Noh Salleh lewat Kau Mawarku dan Bagaikan Sakti yang punya ‘vibe’ mahal, juga tidak dilupa Hafiz Suip dan Umairah, sebelum ditutup manis dengan karya ‘emas’ Nirmala, kebanyakannya telah menerima gubahan baharu sentuhan magis pengarah muzik, Aubrey Suwito lalu disempurnakan kemas oleh para pemain termasuk dari Orkestra Simfoni Kebangsaan.


Legacy 30 Siti Nurhaliza telah berjaya memecah dopamin peminat. Bagi yang sudah lama tidak beriadah, malam itu berdedai-dedai tawaf stadium, Buat yang selalu berdendang dalam kereta dan bilik air, malam itu, semua rasa segan suara tidak merdu dilepaskan.
Kepada Sitizoners, inilah masanya membuktikan hanya dengan mendengar awal pembukaan muzik, tajuk lagu yang bakal didendangkan sudah dijangka dan macam-macam lagi episod berlapis yang berlaku pada konsert tersebut.
Paling penting, lebih 63,000 peminat teruja, bahagia dan pulang ke masa silam lewat lagu-lagi Siti yang kebanyakannya sudah dihafal bak mentera sejak zaman sekolah sehingga mampu menyaksikan ia dinyanyikan di depan mata. Mereka puas.
Pulang dengan segudang kenangan. Tidur bermimpikan senyum manis Siti. Dan semua tentang Legacy 30 Siti Nurhaliza akan menjadi yang terhebat buat sepanjang tahun ini.
Baik. Ini anekdot pentingnya. Ini kunci kepada judul artikel ‘Kerana Siti Nurhaliza Seorang, Seluruh Alam Dapat Manisnya’.


Sejujurnya, buat penulis penganjuran konsert bukan lagi mekanisme untuk menentukan siapa Siti Nurhaliza, gadis kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang kini namanya mahsyur seperti tokoh penting negara.

Sudah 30 tahun terbukti Siti Nurhaliza memang berbakat besar. Siti Nurhaliza memang layak menyandang gelaran penyanyi nombor satu negara. Siti Nurhaliza sesuai dijadikan idola kerana imej bersih dan keterlibatannya dalam kembali ke masyarakat menerusi banyak kerja amalnya.
Kita semua tahu itu. Fakta itu nyata dan sahih. Tapi, melihat seorang Siti Nurhaliza menjadi jenama yang berjaya menarik perhatian peminat dari Indonesia, Singapura dan Brunei malah berbilang bangsa dan generasi untuk terus setia dan terus berkembang setiap hari sehingga terbentuk empayar yang semakin kukuh adalah sesuatu yang luar biasa.
Pada saat barangkali ramai yang kariernya redup kerana faktor usia dan kemunculan artis serta genre baharu, Siti kekal relevan dan memegang takhta.

Meski sudah puluhan konsert dilakukan, malah ada beberapa kali penganjuran dalam setahun, hanya seorang Siti mampu membuat keretapi sesak tak ada ampun.
Hanya seorang Siti mampu membuat pembelian busana atas talian huru-hara dengan permintaan tema berwarna silver.
Hanya seorang Siti boleh membuat isteri berani tidak masak makan malam untuk suami demi ‘me time’. Hanya seorang Siti membuat peminat berani beri MC kepada bos kerana perlu berpergian ke ibu kota.
Hanya seorang Siti boleh membuat seni muzik Malaysia melahirkan keghairahan terhadap peminat Nusantara sekali gus mengiktiraf karyawan seni tempatan bukan ‘jaguh kampung’. Bukan ‘kaleng-kaleng’. Bukan ‘cap ayam’.

Dan terakhir, hanya kerana Siti Nurhaliza seorang, seluruh alam mendapat manisnya. Ia bukan lagi tentang penganjuran konsert. Ia bukan lagi tentang suaranya dan lagunya.

Tetapi ia tentang bagaimana pengaruh seorang Siti Nurhaliza yang lahir dalam bidang hiburan, tanpa manifesto, tanpa janji kosong dan tanpa propaganda boleh menjadi elemen berkelas yang menyatukan kita semua. Buka mulut, menyanyi, nah begitu sahaja beliau memikat hati kita.
Hanya satu jika saya diizinkan untuk memberi buah pandangan kecil. Tanpa merendahkan penganjuran yang dilakukan penuh dedikasi, untuk 30 tahun atau tiga dekad menjadi karyawan seni, sudah tiba masanya persembahan yang dipanggil konsert oleh Siti mengalami evolusi.
Tidak salah juga ia menjadi sedikit bersifat peribadi kerana usianya 30 tahun. Paling penting, konsert yang disajikan memberi pengalaman baharu dan mampu dijadikan rujukan pada masa akan datang buat generasi muda.
Agar kita juga mengerti bahawa ia bukan hanya tentang menandai legasi tetapi membawa idea-idea baharu, kreativiti liar tetapi tetap tidak menenggelamkan identiti sendiri.
