Sekilas
- Neelofa berkongsi pengalaman hampir setahun melalui proses trying to conceive (TTC) untuk mendapatkan anak ketiga selepas dua kehamilan pertama yang tidak dirancang.
- Dia mempertimbangkan rawatan IVF tetapi menangguhkannya sambil mencuba pelbagai ikhtiar termasuk rawatan tradisional dan suplemen.
- Selepas menunaikan umrah dan berdoa dengan penuh harapan, Neelofa mendapat keputusan positif ujian kehamilan kira-kira dua minggu kemudian.
Berbeza dengan dua kehamilan terdahulu, selebriti dan usahawan Neelofa mendedahkan perjalanan mendapatkan cahaya mata ketiga kali ini mengambil masa hampir setahun.
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor berkata, anak pertama dan keduanya diperoleh tanpa perancangan khusus, namun situasi berbeza apabila dia dan suami, Haris Ismail melalui proses trying to conceive (TTC) untuk menambah zuriat.
“Kali ini ambil masa sebelum saya sampai ke sini (hamil). Anak pertama dan kedua saya dahulu tidak dirancang dan sangat mudah untuk diperoleh.
“Namun, kali ketiga ini saya berusaha melalui proses TTC. Perjalanan itu mengajar saya erti yang berbeza sebab baru saya faham perasaan orang yang sukar mengandung.
“Selama ini saya tidak pernah mengalaminya,” katanya menerusi audio siar Habis Cerita.
Pengalaman tersebut turut membuatkan Neelofa mempertimbangkan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekiranya usaha mereka masih belum membuahkan hasil.
Menurut Neelofa, dia beberapa kali menetapkan tempoh tertentu untuk menjalani IVF, namun keputusan itu terus ditangguhkan sementara dirinya mencuba pelbagai ikhtiar lain.
“Hampir setahun saya sentiasa meletakkan tarikh sasaran, kononnya jika tidak berjaya menjelang Januari, saya mahu buat IVF.
“Tetapi saya terus menunda tarikh itu. Sampai satu hari saya sudah berusaha macam-macam, buat suntikan, makan suplemen dan pergi dapatkan rawatan perubatan tradisional Cina,” katanya.
Dalam melakukan pelbagai usaha, Neelofa kemudiannya mula mempersoalkan sejauh mana dia benar-benar bersungguh-sungguh berdoa dan menyerahkan keinginannya kepada Allah SWT.
Perkara itu menjadi antara titik perubahan dalam perjalanannya mendapatkan zuriat ketiga.
“Persoalannya, adakah saya betul-betul berdoa kepada Allah atau tidak? Saya kenal diri sendiri, saya tidak merayu dan mengetuk pintu rahmat Allah dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Ketika malam Lailatulqadar, Neelofa mula memberikan perhatian khusus terhadap beberapa hajat termasuk keinginannya untuk kembali hamil.
Selepas Aidilfitri, dia kemudian meminta izin suaminya untuk menunaikan umrah dan menjadikan soal zuriat sebagai antara doa yang benar-benar dipohon sepanjang berada di Tanah Suci.
“Pada malam Lailatulqadar, saya fokus berdoa dan menetapkan beberapa hajat termasuklah untuk hamil. Saya merintih, ‘Ya Allah sebenarnya aku nak sangat tetapi aku tak tahu adakah ini yang terbaik untuk aku atau tidak’,” katanya.
Penantian tersebut akhirnya berakhir dengan khabar gembira apabila kira-kira dua minggu selepas pulang daripada mengerjakan umrah, Neelofa mendapat keputusan positif menerusi ujian kehamilan.
“Dua minggu selepas itu apabila pulang dari umrah, keputusan ujian kehamilan adalah positif. Allah menjawab doa itu selepas hampir setahun perjalanan untuk hamil,” katanya.
Bagi Neelofa, pengalaman melalui TTC kali ini memberikan perspektif baharu terhadap pasangan yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat.
Dia turut mengambil pengajaran bahawa selain melakukan pelbagai usaha dan ikhtiar, pergantungan kepada Allah menerusi doa menjadi perkara yang tidak mahu dilupakannya.
“Pengajaran terbesar yang saya perolehi adalah kita memang boleh berusaha, berikhtiar serta merasai pelbagai emosi seperti jatuh, teruja dan sedih tetapi kita perlu bertanya kembali kepada diri sendiri.
“Adakah kita sudah benar-benar berdoa secara habis-habisan atau tidak?” katanya.
Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan kini dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas serta sedang menantikan kelahiran anak ketiga