Sekilas
- Aubrey Suwito terkejut dan terharu lagu ciptaannya, 'Pesanan Buat Diri' nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza menang Lagu Tradisional Terbaik di AIM25.
- Aubrey berterima kasih kepada Siti Nurhaliza dan penulis lirik Datuk Habsah Hassan atas kerjasama menghasilkan lagu tersebut.
- Peminat memuji lagu itu sebagai karya terbaik dalam album 'Gema Bumantara' dan berharap kerjasama Aubrey dan Siti diteruskan.
Komposer terkenal Aubrey Suwito meluahkan rasa terkejut dan terharu selepas lagu ciptaannya, ‘Pesanan Buat Diri’ yang dinyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih trofi Lagu Tradisional Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).
Menerusi perkongsian di Threads, Aubrey berkata dia menerima kejutan tersebut sebaik sahaja turun dari pentas selepas selesai membuat persembahan.
“I come offstage and my wife gives me the biggest hug! And an even bigger surprise!! Dpt Lagu Tradisional Terbaik!! Gilaaaa!” tulisnya.
Aubrey turut berterima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah atas kemenangan berkenaan dan memohon maaf kerana lambat memberikan respons kerana baru selesai terbabit dengan Konsert Empat di Singapura.
Lebih istimewa, Aubrey tidak melupakan dua individu penting di sebalik ‘Pesanan Buat Diri’ iaitu Siti yang menghidupkan karya berkenaan menerusi nyanyiannya serta penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan.
“Big love to Dato’ Sri Siti Nurhaliza for bringing this song to life, and my legendary co-writer Habsah Hassan.
“So grateful to share this award with both of you. Terima kasih semua. Sangat bermakna buat saya,” tulisnya.

Kemenangan itu turut mendapat perhatian peminat yang rata rata menyifatkan ‘Pesanan Buat Diri’ sebagai antara karya paling menyerlah dalam album ‘Gema Bumantara’.
Malah, ada yang berharap kerjasama Aubrey dan Siti diteruskan selepas melihat keserasian mereka menghasilkan karya berteraskan irama tradisional.
“Dua kali dah Sir menang, lepas ni pakat merebutlah minta lagu tradisional dari Sir,” tulis seorang netizen.
“Lagu ni memang best. Tapi semua lagu yang Mr Aubrey cipta untuk Tokti semua masterpiece,” komen seorang lagi.

Seorang peminat turut berkongsi bahawa lagu tersebut sudah mencuri perhatiannya sejak kali pertama mendengar album ‘Gema Bumantara’.
“Dari awal lagi saya dah suka sangat lagu ‘Pesanan Buat Diri’. Apatah lagi apabila Encik Aubrey kata masa rakaman lagu tu, ‘Sedih la’. Bertambah sedih la saya pun hingga mengalir air mata saya. Memang luar biasa lagu ni,” tulisnya.

‘Pesanan Buat Diri’ merupakan hasil ciptaan Aubrey dengan lirik nukilan Habsah dan dimuatkan dalam album tradisional Siti, ‘Gema Bumantara’.
Sumber: Threads Aubrey Suwito