Skip to main content

Selebriti

Irudhi Strike, Filem Terakhir Sathiya ‘Sempurna’ - “Waktu Ini Saya Sihat & Kaki Kiri Masih Ada…”

Irudhi Strike, Filem Terakhir Sathiya Sempurna

Pelawak dan pelakon veteran, Sathiya menyifatkan filem terbaharunya berjudul Irudhi Strike sebagai karya paling bermakna dalam perjalanan seninya selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam industri hiburan.

Menurut Sathiya, 61, filem tersebut menjadi lakonan terakhir dirinya dalam keadaan sempurna, sebelum kehilangan kaki kiri akibat komplikasi penyakit kencing manis pada September lalu.

Advertisement

“Penggambaran filem ini dilakukan pada tahun lepas, waktu itu saya masih sihat dan kaki kiri masih ada. Kiranya ini filem terakhir, saya berlakon sebagai Sathiya yang sempurna.

“Sekarang, kaki kiri saya sudah tiada, jadi tawaran lakonan yang datang mungkin agak berbeza. Selepas ini penonton mungkin tidak lagi dapat melihat saya berlari dan beraksi seperti dahulu,” ujarnya.

Malah kata Sathiya, selepas berlakon dalam puluhan filem, Irudhi Strike menjadi karya pertama yang mengangkatnya sebagai hero.

Bimbang tidak dapat berlakon dengan baik, Sathiya juga pernah menolak tawaran untuk membintangi filem ini sebelum diyakinkan oleh pengarahnya, T. Danesh Kumar.

“Saya pelawak dan berlakon semua dalam karya komedi, ini kali pertama saya diberi watak yang bukan komedi. Saya perlu serius dan juga menangis.

“Saya takut saya tidak boleh buat, sebab itu saya tolak pada mulanya. Pengarah banyak membantu dan dalam filem ini  penonton akan melihat sisi berbeza Sathiya. Langsung tidak buat lawak, 100 peratus watak yang serius.

“Filem ini adalah wajah satu Malaysia kerana dilakonkan oleh pelakon daripada pelbagai kaum. Jadi, saya harap semua orang boleh datang menonton di pawagam kerana filem ini sangat menarik ,” ujarnya.

Selain Sathiya, filem Irudhi Strike yang bakal menemui penonton di pawagam pada 30 Oktober ini turut dibintangi oleh Irfan Zaini, Ravin Rao Santheran, Jibrail Rajhula, Affie Rania, Komalaa Naaidu, Alvin Martin dan Saresh D7.

Karya yang menggunakan Bahasa Tamil dan Melayu itu mengisahkan, seorang bekas pemain bola sepak Coach Senbagamaran (Sathiya) melatih sekumpulan anak muda di sebuah perkampungan sebagai sebuah pasukan bola sepak untuk mengajar disiplin dan memberi harapan untuk masa depan.

Namun, mereka diganggu oleh sindiket yang mengeksplotasi golongan muda untuk keuntungan dan mengheret mereka ke kancah rasuah. Kini, Coach dan pasukan bola sepak itu terpaksa berjuang  di mahkamah untuk masa depan kampung mereka.

Must-Watch Video

Advertisement