Sekilas
- Arrora Salwa meluahkan kebimbangan terhadap isu buli di sekolah yang boleh meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa.
- Arrora menegaskan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar, bukan punca trauma atau tekanan emosi yang boleh membawa kepada tindakan ekstrem.
- Arrora menyeru pihak sekolah, guru, dan pelajar supaya lebih peka dan bertanggungjawab dalam menangani isu buli serta menyediakan ruang untuk mangsa meluahkan perasaan.
Penyanyi, Arrora Salwa meluahkan rasa risau terhadap isu buli di sekolah yang disifatkan semakin membimbangkan sehingga mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Arrora berkata institusi pendidikan seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu dan bukannya lokasi yang mencetuskan trauma.
“Sekolah sepatutnya jadi tempat paling selamat untuk menuntut ilmu, bukannya tempat yang melahirkan trauma, atau lebih ekstrem, tempat yang mengubah mangsa buli menjadi seorang ‘pembunuh’ akibat terdesak.
“Cuba bayangkan perasaan budak yang kena buli kat sekolah, tapi terpaksa pendam sorang-sorang.
“Dekat sekolah tu ada cikgu disiplin, ada guru-guru, ada pengawas, dan ada beratus pelajar lain. Mustahil tak ada mata yang memandang. Tapi kenapa semua pilih untuk diam?” luahnya.

Mengulas lanjut, Arrora berkata kegagalan mangsa untuk mendapatkan sokongan daripada individu di sekeliling boleh menyebabkan emosi mereka menjadi semakin tertekan sehingga bertindak diuar kawalan.
“Kesan negatifnya, bila mangsa rasa tak ada sesiapa boleh percaya, bergantung harap, emosi mereka akan overload sampai satu tahap boleh ‘meletup’ luar kawalan.
“Kes ekstrem contohnya mangsa tikam pembuli tu wujud sebab mereka dah tak nampak jalan keluar mungkin disebabkan sistem sekolah yang gagal lindungi mereka,” jelasnya.
Dalam masa sama, Arrora juga berharap isu tersebut dapat menjadi antara sebab untuk pihak sekolah meningkatkan kesedaran agar lebih peka terhadap penderitaan mangsa buli.
“Sudut positif kesedaran ni, kita nak jentik hati komuniti sekolah. Cikgu, pelajar, pihak pentadbiran, semua kena ada sense of responsibility.
“Jangan jadi saksi yang bisu. Kesedaran ni penting supaya kita boleh sediakan ruang meluah sebelum bom jangka dalam diri anak-anak ni meletup. Sekolah patut jadi tempat selamat,” tegasnya.
Sumber: Threads @arrorasalwareal