Empat finalis Mualim Muda iaitu Anas, Amar, Luqman dan Ashraf bakal membawa anda untuk menyertai sebuah kembara rohani yang penuh makna, menelusuri jejak dakwah Rasulullah SAW di Taif, Mekah dan Madinah menerusi program Muallim Muda: Ke Mekah, Kita!
Sepanjang perjalanan ini, mereka akan membawa anda menziarahi pelbagai lokasi bersejarah yang sarat dengan kisah perjuangan Islam.
Dari bumi Taif yang menyimpan kisah kesabaran dan ketabahan Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah, perjalanan diteruskan ke Mekah di bawah naungan Kaabah.
Kembara penuh makna ini kemudiannya diteruskan ke Madinah al-Munawwarah, kota penuh keberkatan yang menjadi saksi sejarah agung Islam.
Di sinilah para finalis berpeluang menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW, menjejakkan kaki ke Raudhah serta menziarahi beberapa lokasi penting yang pernah menjadi medan perjuangan umat Islam suatu ketika dahulu.
Lebih menarik, sepanjang kembara ini penonton turut disajikan dengan pelbagai momen spontan dan santai bersama keempat-empat Muallim Muda yang tampil dengan keperibadian yang bersahaja.
Gelak tawa, keletah serta pengalaman mereka menjadikan perjalanan ini terasa begitu dekat di hati, seolah-olah penonton turut sama mengikuti kembara tersebut.
Program Muallim Muda: Ke Mekah, Kita! bersiaran setiap Ahad, jam 7.30 malam bermula 15 Mac 2026 di Astro Oasis.