Sekilas
- Khairul Aming menafikan dakwaan bahawa pempengaruh mendapat keistimewaan untuk membuat tempahan di restorannya, Rembayung.
- Hanya dua pempengaruh yang berjaya membuat tempahan secara sendiri tanpa layanan istimewa, manakala Azfar Heri terlibat sejak fasa awal restoran.
- Restoran Rembayung menggunakan sistem tempahan yang sama rata untuk semua pelanggan tanpa mengira status atau pengaruh media sosial.
Usahawan Khairul Aming tampil menjawab dakwaan segelintir netizen yang mendakwa pempengaruh lebih mudah mendapat slot tempahan untuk menjamu selera di restorannya, Rembayung.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Khairul Aming atau mesra disapa KA menjelaskan dakwaan tersebut tidak benar dan menjelaskan jumlah pempengaruh yang pernah berjaya membuat tempahan ke restorannya adalah sangat terhad.
@cheqmanes Battle tau… Jangan, jangan…. #khairulaming #rembayung ♬ Tor Monitor Ketua - JEDAG JEDUG SOUND & Ecko Show & Juan Reza & DJ Komang Rimex
“Kenapa pempengaruh dapat banyak tempah? Mana ada banyak,” katanya menjawab salah seorang pertanyaan netizen di sesi siaran langsung itu.
Menurut KA, setakat ini hanya dua pempengaruh yang dikenalinya berjaya mendapatkan slot tempahan, itu pun melalui usaha sendiri tanpa sebarang keistimewaan.
“Setakat ini ada dua sahaja yang saya kenal. Itu pun Cupcake Aisyah, dia battle sendiri. Yang kedua Sam.
“Dua itu sahaja yang saya nampak. Yang lain tiada,” jelasnya.
Mengulas mengenai nama seorang lagi pempengaruh iaitu Azfar Heri, KA menjelaskan individu berkenaan bukan dikategorikan sebagai pelanggan biasa memandangkan Azfar telah terlibat ketika di fasa awal persediaan restoran itu lagi.
“Azfar Heri itu tolak tepi lah sebab dia dari fasa simulasi kedai lagi sudah ada,” katanya lagi.
Penjelasan tersebut sekali gus menepis tanggapan kononnya pempengaruh diberikan layanan istimewa atau keutamaan untuk membuat tempahan di restoran berkenaan.
Sejak dibuka, Rembayung sering menjadi tumpuan ramai sehingga slot tempahan sentiasa penuh, malah ramai pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk menikmati hidangan di restoran milik usahawan itu.
KA sebelum ini beberapa kali menegaskan sistem tempahan di restorannya adalah sama rata untuk semua pelanggan tanpa mengira status atau pengaruh di media sosial.