Skip to main content

Hiburan

Majlis Konvokesyen Bertukar Sebak, Bapa Terima Ijazah 2 Pelajar UPSI Maut Nahas Di Gerik

UPSI

Ringkasan AI

  • Majlis Konvokesyen UPSI penuh emosi apabila ijazah anumerta disampaikan kepada keluarga dua pelajar yang terkorban dalam kemalangan bas di Gerik.
  • Ijazah anugerah disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, kepada bapa Nurly Shahirah dan Fatin Nasrien.
  • Ayah Nurly Shahirah dan Fatin Nasrien berkongsi perasaan bangga dan sedih menerima ijazah anak mereka yang sudah tiada.
  • Abang Nurly meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan Khas sebagai penghormatan kepada cita-cita arwah adiknya.
  • Majlis konvokesyen berlangsung dari 14 hingga 18 November, meraikan 7,173 graduan UPSI tahun ini.

Suasana penuh emosi menyelubungi Dewan Tunku Canselor yang menjadi lokasi berlangsung Majlis Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ketika nama Allahyarham Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli dipanggil.
 

Dua pelajar itu antara yang terkorban dalam kemalangan bas pelancong di Lebuhraya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik, dekat sini pada 9 Jun lalu, yang turut meragut 13 nyawa mahasiswa UPSI lain.

Suasana di dewan bertambah sayu apabila ibu bapa kedua-dua pelajar itu berjalan ke pentas - langkah yang berat dan penuh sebak untuk menerima ijazah sebagai mewakili dua pelajar itu yang pergi buat selama-lamanya.

Ijazah anugerah (anumerta) itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, kepada bapa Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, dan bapa Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman, 50.

Tuanku Zara, yang juga Canselor UPSI turut dilihat mengesat air mata selepas menyampaikan sijil berkenaan, sambil menonton video montaj mengenai tragedi yang ditayangkan semasa majlis.

Sementara itu, Azman ketika ditemui mengaku bangga, namun pada masa sama berat hati apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (Kepujian) hasil kerja keras arwah anaknya sebelum pemergiannya.

"Apabila namanya dipanggil, saya gembira tetapi bercampur dengan kesedihan yang mendalam. Alhamdulillah, saya tetap kuatkan diri.

"Saya tidak mahu menangis di atas pentas walaupun hati sangat sedih. Saya cuba tersenyum, tetapi jauh di sudut hati, saya tetap merinduinya," katanya.

Namun di sebalik kesedihan, terselit rasa lega apabila mengetahui impian Nurly masih diteruskan abangnya, Mohd Najmuddin, yang kini menyambung pengajian dalam program pendidikan jarak jauh dalam bidang Pendidikan Khas, sebagai tanda penghormatan terhadap cita-cita arwah adiknya.

"Abangnya sedang meneruskan apa yang dia mulakan. Dia mahu menyempurnakan apa yang Nurly tidak sempat capai," katanya.

Ditanya bagaimana rasanya kembali ke kampus yang menyimpan banyak kenangan anaknya, Azman terdiam seketika sebelum menjawab: "Itulah soalan paling sukar".

"Sebagai seorang ayah, hati mana tidak pilu... saya sentiasa berharap dapat melihat anak sendiri naik ke pentas itu, tetapi akhirnya sayalah yang melakukannya.

"Namun, Allah telah aturkan segalanya dengan sempurna. Walaupun dia tidak dapat menerimanya sendiri, saya percaya semua ini telah tertulis oleh-Nya," katanya sambil bergenang air mata.

Sementara itu, Fadli menerima skrol bagi pihak arwah anaknya, Fatin Nasrien, yang sepatutnya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik dengan Pendidikan) tahun hadapan sebelum pemergiannya.

"Saya rasa gembira dan sedih dalam masa sama. Gembira, ya, tetapi kesedihannya jauh lebih besar.

"Dia harapan saya. Dia anak sulung dan adik-adiknya semua menjadikannya contoh. Terima kasih kepada UPSI kerana masih mengingatinya. Ia sangat bermakna bagi kami," katanya.

Majlis konvokesyen berlangsung mulai hari ini hingga 18 November, meraikan keseluruhan 7,173 graduan.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement