Sekilas
- Pelakon Indonesia Olla Ramlan kongsi cabaran berlakon dalam siri Walid di lokasi pedalaman Malaysia yang serba terbuka dan jauh dari kemudahan moden.
- Olla akui skrip dalam bahasa Malaysia dan suasana penggambaran yang penuh cabaran termasuk serangga dan air gunung sejuk menjadi halangan utama.
- Walaupun menghadapi kesukaran, Olla puji layanan mesra kru dan pelakon lain yang memudahkan proses penggambaran serta pengalaman baru yang mengagumkan.
Pelakon Indonesia, Olla Ramlan berkongsi cabaran ketika berlakon dalam siri Walid di Malaysia.
Menurut Olla, antara cabaran utama adalah keadaan lokasi yang terletak jauh di pedalaman selain suasana tempat tinggal yang agak terbuka.
Malah, dia mengakui pernah menangis kerana ketakutan ketika berada di lokasi penggambaran.
“Ya, itu saya menangis pertama kali. Takut. Mungkin takut.
“Biliknya tertutup sedikit saja, jadi semua serangga boleh masuk ke bilik saya,” katanya kepada Gempak.
Bukan itu sahaja, Olla turut memaklumkan dirinya mempunyai kelebihan ‘deria keenam’ yang membolehkannya melihat perkara ghaib.
“Saya ada anugerah. Saya boleh melihat benda ghaib. Jadi, memang ada rasa takut. Tapi saya kena lupakan, kalau tidak stres,” ujarnya.
Selain faktor persekitaran, Olla mengakui cabaran terbesar adalah bahasa apabila skrip diberikan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia.
“Cabaran pertama adalah skrip dalam bahasa Malaysia yang saya tidak faham. Jadi, saya baca dulu, terjemah perlahan-lahan. Habis terjemah, hafal lagi. Lepas itu baru boleh berlakon.
“Kedua, semua kru bercakap bahasa Malaysia. Jadi kadang-kadang saya minta ulang dalam bahasa Indonesia.
“Kita shooting lebih ke pedalaman, ke hutan-hutan. Rumah penginapan bukan hotel. Dari bilik ke tandas pun 70 meter.
“Untuk mandi, tak ada air panas. Air gunung, sangat dingin. Seronok, tapi stres juga. Namun ini pengalaman baru yang mengagumkan,” kongsinya.
Bagaimanapun, Olla memuji layanan barisan pelakon dan kru produksi yang disifatkan sangat mesra sehingga memudahkan pembentukan keserasian di set.
“Sejauh ini, semuanya sangat mesra. Aktor-aktornya baik-baik. Chemistry mudah sahaja untuk dapatkan. Lawan dialog juga enak, hafalan bagus.
“Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja. Saya gembira,” katanya.
Mengikuti kejayaan besar Bidaah tahun lalu, siri siri Viu Original Walid (Heaven’s Reign) 12 episod terbitan Rumah Karya Citra itu ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman berkenaan bermula 26 Februari 2026.
Siri tersebut turut menggabungkan semula pencipta dan penulis skrip Erma Fatima serta pengarah Pali Yahya yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi Bidaah.