Sekilas
- Anna Abdullah berkongsi bahawa sahabat baiknya, Allahyarhamah Nadia Kesuma, pernah menyatakan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah semasa mereka menunaikan umrah pada 2022.
- Anne memaklumkan bahawa Nadia meninggal dunia dalam keadaan tenang di sebuah hospital di Jeddah akibat sakit jantung, dan jenazahnya kini berada di Hospital King Fahad untuk dikebumikan di sana.
- Menurut Anne, pemergian Nadia di Tanah Suci adalah sesuatu yang bermakna kerana tidak semua orang berpeluang meninggal dunia di tempat suci tersebut.
Pelakon, Anna Abdullah memaklumkan bahawa sahabat baiknya, Allahyarhamah Nadia Kesuma pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah sewaktu mereka menunaikan umrah pada 2022.
Anne yang juga merupakan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) berkata, Arwah yang merupakan sahabat baiknya itu juga sering meluahkan rasa teruja setiap kali dapat berada di Tanah Suci.
"Pertama kali arwah pergi umrah bersama saya pada 2022. Ketika itu, dia memang cakap seronok dapat sampai ke sana dan tidak sabar untuk pergi.
“Dia ada beritahu memang mahu meninggal di sana. Dia kata seronok kalau kita dapat meninggal di sana dan mahu berdoa banyak-banyak," katanya.
Bercerita lanjut, Anne memaklumkan Allahyarham ‘pergi’ dalam keadaan yang tenang dah mudah.
Dalam masa yang sama, Anne turut menyifatkan kehilangan Nadia sebagai pemergian yang penuh bermakna memandangkan tidak semua orang berpeluang untuk meninggal dunia di Tanah Suci.
"Menurut suaminya, Allahyarham pergi dalam keadaan tenang, seperti yang dimaklumkan pihak doktor selepas arwah dibawa ke sebuah hospital di Jeddah.
"Allah terima doa dia. Bukan semua orang terpilih untuk meninggal di sana, tapi sebab dia seorang yang sangat baik, adik yang sangat baik, saya juga tak mampu hendak cakap apa-apa," katanya.
Terdahulu, anak perempuan Allahyarhamah Nadia memaklumkan ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu menerusi laman Threads.
Jenazah Nadia kini berada di Hospital King Fahad dan akan dikebumikan di Jeddah.
Sebelumnya, Nadia dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London yang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Sumber: Berita Harian