Sekilas
- Imranul Effendy mendaki Gunung Kinabalu sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang memberi sokongan luar biasa walaupun dia hanya penari latar dalam muzik video Jodoh Lebaran.
- Dia berjaya menamatkan pendakian dalam masa sekitar empat jam tanpa latihan khusus, walaupun tidak dapat sampai ke puncak tertinggi kerana mengalami kejang otot dan sakit kepala.
- Imranul turut berterima kasih kepada peminat yang prihatin dan bakal muncul dalam filem Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre.
Pempengaruh media sosial yang mula tular menerusi muzik video Jodoh Lebaran iaitu Imranul Effendy berkongsi sebab utama dirinya menyahut cabaran peminat dengan melakukan pendakian di Gunung Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Menurut Imranul, pendakian tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya.
Menurut Imranul, dia berasa sangat terharu dengan kasih sayang yang diberikan meskipun hanya muncul sebagai penari latar bagi lagu raya yang dinyanyikan penyanyi, Aisha Retno itu.
“Saya buat cabaran mendaki Kinabalu tu memang untuk membalas jasa peminat-peminat yang memberi kasih sayang yang sangat-sangat tak terhingga untuk Jodoh Lebaran.
“Semua orang tahu saya dekat dalam tu sebagai penari latar saja tapi sambutan yang saya terima sangat-sangat besar dan luar biasa.
“Saya tak kaya, saya tak ada duit yang banyak. Jadi saya rasa mendaki Gunung Kinabalu adalah sesuatu yang sangat bermakna dan orang boleh nampak sendiri betapa sukarnya cabaran itu,” katanya kepada Gempak.
Imranul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di malam tayangan perdana filem Nar’sata: Sekutu Setan bertempat di TGV Sunway Pyramid pada Selasa.
Berkongsi mengenai pendakiannya, Imranul memaklumkan bahawa dia berjaya menamatkan pendakian dalam tempoh sekitar empat jam walaupun tidak menjalani sebarang latihan khusus.
Tambah Imranul, meskipun penat namun dia tetap bersemangat meneruskan pendakian sambil mendengar lagu Jodoh Lebaran ketika mendaki.
“Saya tak sangka dapat daki ke atas dalam tempoh empat jam tanpa jalani sebarang latihan. Saya terkejut sebab ada yang kata kebiasaannga memerlukan masa sekitar enam ke lapan jam untuk ke puncak.
“Sebelum saya naik, saya dengar lagu Jodoh Lebaran versi orkestra. Saya dengar lagu tu banyak kali, saya ingat semua orang cakap pasal Jodoh Lebaran so membuatkan saya lagi semangat mungkin sebab tu saya naik lagi cepat,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Imranul tidak dapat meneruskan pendakian dititik tertinggi mengalami beberapa gejala seperti kejang otot dan sakit kepala.
“Tapi sayangnya saya tak dapat dakir 100 meter terakhir ke puncak sebab saya rasa pening, kaki saya tak larat tapi still saya dah sampai ke puncak.
“Masa saya turun tu je dua kilometer saya nak ke bawah kaki saya dah tak bagi kerjasama tapi Alhamdulillah saya sampai ke bawah,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai kerisauan netizen mengenai pendakiannya, Imranul mengakui dia terharu apabila mengetahui ramai peminat mencarinya di media sosial.
“Saya sangat terharu. Bila buka Threads, itulah perkara pertama yang saya nampak.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang tercari-cari dan prihatin dengan saya waktu itu,” ujarnya.
Terdahulu, Imranul berjaya menyahut cabaran peminat yang memintanya untuk mendaki Gunung Kinabalu.
Dalam perkembangan lain, Imranul bakal tampil menerusi filem arahan pengarah terkenal, Pierre Andre yang berjudul Nar’sata: Sekutu Setan.
Selain Imranul, filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Trisha Ooi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Aniq Suhair, Fadlan Hazim dan ramai lagi.