Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie: Game On yang baru sehari ditayangkan sudah mendapat sambutan positif daripada penonton kanak-kanak dan dewasa.
- Jalan cerita filem arahan Nizam Razak ini berjaya menyentuh hati penonton sehingga ada yang menitiskan air mata dan menganggap ia sangat dekat dengan kehidupan sebenar.
- Netizen juga memuji watak Papa Zola yang kelakar, bertanggungjawab, dan menjadi contoh lelaki idaman ramai, sambil mengajak semua untuk menonton di pawagam berdekatan.
Baru sahaja sehari ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh negara namun, filem animasi Papa Zola The Movie: Game On sudah pun mendapat respon yang positif daripada penonton.
Bukan sahaja memberikan hiburan kepada si cilik, malah filem keluaran MONSTA dan Astro Shaw ini turut berjaya menarik minat penonton dewasa.
Papa Zola The Movie: Game On juga membuktikan bahawa meskipun filem animasi begitu sinonim dengan kanak-kanak, namun jalan cerita yang disampaikan berjaya menyentuh jiwa serta menitiskan air mata penonton dewasa.
Menerusi Threads, rata-rata warganet menganggap jalan cerita filem animasi arahan Nizam Razak ini begitu dekat dengan kehidupan serta berjaya membuatkan penonton berasa sedih.
“Tisu betul hati aku. Anak-anak relaks ja tapi mak dia yang over sampai menangis.
“Papa Zola best, aku menangis. Anak aku umur tiga tahun pun duduk diam ja tengok,” komen netizen.


Dalam masa yang sama, ada juga yang memuat naik komen comel mengatakan mereka menginginkan figura lelaki persis Papa Zola yang bukan sahaja kelakar tetapi sangat bertanggungjawab terhadap Mama Zila dan Pipi.
“Saya nak cari lelaki macam Papa Zola. Dah lah provider, kelakar pula tu.
“Saya nak juga satu macam Papa Zola,” komen netizen.


Reaksi dan komen ditinggalkan netizen itu menunjukkan betapa seronoknya pengembaraan Papa Zola, Pipi dan Mama Zila.
Ini juga membuktikan kualiti ‘top notch’ yang berjaya dihasilkan MONSTA khas buat semua peminat dan penonton.
Jangan lepaskan peluang untuk rasai pengembaraan Papa Zola dan dapatkan tiket anda di pawagan berdekatan.
“Musuh Kejahatan, Kekasih Kebenaran”.