Sekilas
- Que Haidar menegaskan hubungannya dengan Nur Fazura hanyalah sebagai kawan lama yang kembali berhubung selepas lama tidak bertemu.
- Mereka memulakan kerjaya seni hampir serentak dan pernah tercalon dalam kategori Pelakon Harapan pada tahun yang sama.
- Interaksi mesra mereka di media sosial dan aktiviti bersama menarik perhatian peminat yang mula menjodohkan mereka, namun Que memilih untuk tidak terlalu memikirkan spekulasi tersebut.
Pelakon, Que Haidar menegaskan hubungannya dengan aktres terkenal iaitu Nur Fazura hanyalah sekadar kawan lama dan persahabatan itu kembali terjalin selepas sekian lama tidak bertemu.
Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, mereka memulakan perjalanan dalam industri seni pada tempoh yang hampir sama, sekali gus menjadikan hubungan itu dipenuhi kenangan ketika awal kerjaya.
“Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama tidak berjumpa dan kami memasuki industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.
“Pada tahun yang sama juga kami pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan. Saya menerusi filem KL Menjerit, manakala dia pula melalui filem Bicara Hati,” katanya.
Que berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2026 di Hotel Pavillion di ibu negara, pada Khamis.
Bagaimanapun kata Que, dia berasa sedikit segan setiap kali berhadapan Fazura selepas sekian lama mendiamkan diri daripada dunia hiburan.
Kata Que, perasaan itu hadir apabila melihat kejayaan besar yang dikecapi sahabat lamanya itu hari ini.
“Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu. Maklumlah saya sudah lama meninggalkan industri.
“Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja,” ujarnya.
Mengulas reaksi peminat yang seakan memberi restu sekiranya hubungan mereka melangkah ke fasa lebih serius, Que memilih untuk melihat perkara itu dari sudut positif tanpa terlalu memikirkan spekulasi yang timbul.
“Kalau orang gembira, Alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini buat orang gembira atau boleh hilangkan keresahan mereka, saya okey sahaja.
“Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, ia jadi berat. Kalau saya ringankan, ia jadi ringan. Jadi saya layan sahaja,” katanya.
Terdahulu, keakraban Que dan Fazura menjadi perhatian ramai selepas kedua-duanya bekerjasama mempromosikan sebuah jenama pakaian tempatan.
Malah, Que pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain mereka turut dilihat mengunjungi bazar Ramadan bersama.
Interaksi mesra mereka yang saling berbalas komen di aplikasi Threads turut mengundang perhatian peminat sehingga tercetus tanda pagar khas #QueLaFaz, sekali gus membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu.