Sekilas
- Syaffiq Sahli berjaya meraih tempat kedua dalam TikTok Livefest 2025 untuk kategori Fandom dan Talent Music, mengekalkan prestasi cemerlang selama tiga tahun berturut-turut.
- Beliau menghadapi cabaran besar dengan mempelbagaikan kandungan termasuk nyanyian, eksplorasi paranormal, dan perniagaan sepanjang pertandingan berlangsung.
- Syaffiq juga melakukan jelajah ke Indonesia selama 25 hari untuk menghasilkan kandungan paranormal dan akan diraikan dalam majlis anugerah di Phuket dan Las Vegas tahun ini.
Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Syaffiq Sahli sekali lagi mencipta kejayaan apabila berjaya meraih tempat kedua dalam TikTok Livefest 2025 yang berlangsunb pada 16 Disember tahun lalu.
Kemenangan itu sekali gus mengekalkan prestasinya selama tiga tahun berturut-turut bertanding dalam pertandingan tersebut.
Syaffiq atau Mohd Syaffiq Sahli, 39, berkata pencapaian ini amat bermakna buatnya meskipun tidak berada di kedudukan teratas seperti dua tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, ini tahun ketiga saya bertanding. Tahun pertama dan kedua saya mendapat tempat pertama, manakala tahun ini tempat kedua dan bagi saya ini tetap satu kemenangan,” katanya.
Menurut Syaffiq, banyak cabaran yang perlu dilalui sepanjang tempoh dua bulan bertanding malah dia bersyukur kerana dibantu sepenuhnya oleh pasukan Pandarian dan Agensi Intolive.
“Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Ia memerlukan komitmen, disiplin dan usaha yang sangat tinggi.
“Orang hanya nampak saya di depan kamera ketika live di TikTok, tetapi di belakang tabir banyak jatuh bangun dan kepayahan yang perlu dilalui, terima kasih buat Pandarian dan Agency Intolive,” ujarnya.
Tambahnya, cabaran utama tahun ini apabila terpaksa mempelbagaikan kandungannya demi menarik perhatian peminat serta pengguna TikTok.
“Dulu kandungan saya hanya tertumpu kepada nyanyian dan eksplorasi paranormal. Tahun ini saya turut melibatkan perniagaan, jadi terbahagi kepada tiga, perkara itu berlaku ketika hampir memasuki fasa akhir waktu Livefest,” jelasnya.
Tidak hanya tertumpu di Malaysia, malah bekas peserta Gimme The Mic ini memberitahu dia juga telah melakukan siri jelajah ke Indonesia selama 25 hari bagi melakukan kandungan paranormal di beberapa lokasi termasukdi Malang, Surabaya dan Kediri.
Menerusi TikTok Livefest 2025, Syaffiq telah bertanding dua kategori iaitu Fandom dan Talent Music, sekali gus berjaya meraih tempat kedua bagi kedua-dua kategori tersebut pada Disember 2025.
“Saya sudah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun. Dua tahun berturut-turut di tempat pertama dan tahun ini di tempat kedua,” ujarnya.
Sementara itu, Syaffiq memaklumkan pada tahun ini fokusnya lebih tertumpu kepada perniagaan dan eksplorasi paranormal, namun bidang lakonan tetap diteruskan memandangkan tahun ini merupakan tahun ke-14 penglibatannya dalam industri seni.
Kesemua pemenang bakal diraikan dalam sebuah majlis anugerah di Phuket, Thailand pada Januari ini, sebelum meneruskan perjalanan ke Las Vegas pada Februari bagi meraikan kemenangan di peringkat global.
Untuk rekod Syaffiq telah bertanding di TikTok Livefest 25 selama tiga tahun berturut-turut dan diumumkan mendapat tempat kedua pada 16 Disember 2025 bagi kategori Fandom dan Talent Music.