Dalam dunia yang penuh keinginan dan ketamakan, masih wujud segelintir manusia yang sanggup menempuh jalan terlarang demi memenuhi hajat hati
Ada yang sanggup memuja, menyeru, malah berkorban, semuanya kerana percaya akan kewujudan sesuatu entiti yang mampu ‘memakbulkan’ permintaan mereka.
Advertisement
Namun, setiap perjanjian ada bayarannya. Dan kadang kala, harga itu jauh lebih tinggi daripada yang disangka.
Berikut antara kisah-kisah pemujaan yang pernah menggemparkan masyarakat, dari luar negara hingga ke tanah air sendiri.
1. Burari Deaths, India

Tragedi yang menggemparkan dunia apabila 11 ahli keluarga Chundawat ditemui mati tergantung di rumah mereka di Burari, Delhi.
Hasil siasatan mendapati mereka melakukan ritual pelik berpaksikan ajaran sesat, mempercayai bahawa roh ketua keluarga akan kembali menyelamatkan mereka.
Pemujaan itu kononnya bagi mencapai ‘pencerahan rohani’. Namun, ritual berakhir dengan kematian ngeri yang tidak pernah terungkai sepenuhnya.
2. Ritual Iblis di Perancis, Remaja Disembelih & Dimakan

Kejadian ngeri ini berlaku di bandar Tarascon, Perancis, apabila polis membunuh seorang lelaki bernama Arthur A., 32 tahun, selepas menemui mayat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang disembelih di rumahnya.
Mangsa, dikenali sebagai Romain, dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu. Ketika ditemui, mayatnya tanpa kepala dan lengan kanan, malah bahagian kepalanya dipercayai telah dimakan sebahagian.
Di sekitar tubuh mangsa, polis menemukan objek berkaitan Satanisme dan ritual iblis. Arthur, yang mempunyai sejarah penyakit mental dan pernah dirawat di hospital psikiatri, dipercayai melakukan ritual pemujaan untuk 'menyeru kuasa gelap'.
Penduduk setempat masih trauma, apatah lagi apabila polis mengesahkan kemungkinan unsur kanibalisme dan penyembahan syaitan dalam pembunuhan itu.
3. Kes Gemencheh, Negeri Sembilan
Satu pembunuhan berantai yang didakwa berpunca daripada dendam dan amalan pelik.
Namun, di sebalik kisah dendam itu, ada cakap-cakap mengenai ritual pemujaan lama yang dilakukan bagi ‘melindungi’ diri dan keturunan.
Ada saksi mendakwa, individu terlibat pernah mencari dukun di kawasan pedalaman, kononnya untuk ‘menunaikan hajat besar’, tapi ritual itu berakhir dengan tragedi berdarah yang menimpa seisi keluarga.
4. Tiga Individu Terlibat Ritual Puja Kuda Kepang

Baru-baru ini, media melaporkan penangkapan tiga individu di Johor yang dipercayai terlibat dalam ritual puja kuda kepang di kawasan lapang.
Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam upacara pemujaan dikaitkan dengan video tular “Show Puja Jin Batu Pahat” menggunakan tarian kuda kepang.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhail dan Azman didakwa melakukan upacara pemujaan mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 bagi kesalahan yang berhubung dengan akidah, iaitu pemujaan salah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Anuar pula didakwa bersubahat dalam upacara pemujaan itu dengan menjadi pemain muzik gendang, di bawah Seksyen 43(b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman setara dengan kesalahan utama.
5. Remaja 15 Tahun Korban Pemujaan Syaitan

Kes tragis di Houston ini menyayat hati apabila seorang remaja ditemui mati selepas terlibat dalam kumpulan pemujaan syaitan.
Memetik laporan Berita Harian, mayat gadis berusia 15 tahun ditemui pada 16 Februari lalu dengan kesan tembakan di muka dan dada.
Detektif Sarjan Chris Sturdivant, berkata identiti gadis itu belum disahkan secara rasmi tetapi mereka yakin beliau adalah gadis dilaporkan hilang pada Januari lalu berhampiran Jersey Village, Texas.
Salah seorang mangsa berusia 14 tahun yang terselamat berkata, mereka diberi dadah dan alkohol, selain dipaksa mengadakan hubungan seks.
Namun, seperti kebanyakan kisah lama, tidak ada satu pun yang mendapat apa yang dijanjikan kecuali kehilangan dan kematian.
Jika diperhatikan, hampir semua ritual ini berputar di sekitar keinginan manusia, kuasa, cinta, kekayaan, perlindungan.
Dan di sebalik itu, ada kepercayaan kepada entiti yang kononnya mampu menunaikan hajat. Namun, kisah dari mulut ke mulut sering menyebut bahawa entiti seperti itu tidak pernah memberi secara percuma.
Ada yang berkata, setiap hajat mesti dibayar, dengan darah, keturunan, atau sesuatu yang paling disayangi.
Sebab itu, ada ritual diadakan di laut, di kubur, atau di hutan, lokasi yang dikatakan menjadi ‘sempadan’ antara dunia manusia dan makhluk ghaib.
Dan mungkin… masih ada yang percaya, di antara gelombang laut yang sunyi, ada sesuatu yang menunggu untuk didengari entiti yang kononnya mampu menunaikan hajat sesiapa yang berani memanggilnya.