Pelakon, Wanna Ali berkongsi berita gembira mengenai kehamilannya yang kini memasuki usia 25 minggu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Wanna meluahkan rasa terharu apabila mengenangkan perjalanan hidupnya yang berubah sepenuhnya dalam tempoh lebih setahun.
“Dalam tempoh setahun lebih sahaja, Allah telah menulis semula seluruh hidup saya. Daripada merisik, bertunang, bernikah dan kini amanah kecil sedang membesar dalam diri saya. Usia kandungan kini 25 minggu dan hanya berbaki tiga bulan lagi sebelum kehidupan kami berubah daripada ‘awak dan saya’ kepada ‘kita’,” tulisnya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut menzahirkan penghargaan dan rasa cinta buat suaminya yang disifatkan sebagai tulang belakang serta pendamping setia dalam kehidupannya kini.
“Buat suami saya, sejujurnya saya tidak tahu siapa diri saya tanpa awak. Terima kasih kerana sentiasa ada bersama saya,” luahnya.
Sekadar info, Wanna Ali sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Khairul Amri Tan Sri Dato’ Sri Khalid dalam satu majlis di Petaling Jaya pada 9 Februari 2025.
Menerusi video yang tular, Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Mohd Ali selamat dinikahkan dengan berwalikan bapanya, Mohd Ali.
Dalam satu majlis serba putih itu, anak kepada penerbit terkenal Datuk Ayu Puteh itu menerima mas kahwin berupa 10 dinar emas dan sebentuk cincin.