Usahawan, Ridzuan Ridzokumura meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang anak seperti Sky Taizo Okumura yang berdisiplin.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Ridzuan memuji kesungguhan anak lelakinya yang tetap menunaikan solat lima waktu setiap hari, meskipun pulang lewat dari sekolah.
Advertisement
“Alhamdulillah... walaupun Sky balik lambat dari sekolah, dia tak pernah sekali pun tinggalkan solatnya.
“Lima waktu penuh, tak pernah kurang, setiap hari dia tunaikan dengan penuh tertib. Hati saya rasa begitu syukur dan gembira, punya anak sebaik ini, anak yang benar-benar bertuah,” kongsinya.
Lebih menyentuh hati, Ridzuan berkata anaknya itu tidak pernah lupa mendoakan ibunya yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Setiap kali selesai solat, saya tahu... dalam doanya pasti ada nama ibunya. Dia tak pernah lupa untuk mendoakan arwah ibunya, penuh kasih, penuh rindu.
“Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur dikurniakan anak sebaik Sky,” coretnya.
Terdahulu, Akiko disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 28 Februari.
Untuk rekod, Ridzuan dan Akiko mendirikan rumah tangga pada Februari 2009. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura.