Skip to main content

Hiburan

Safura Menangis Terima Mesej & Lagu Dari Sahronizam - “Sedih Hati..Reda, Moga Jodoh Itu Ada…”

fddffd

Sekilas

  • Pelakon Safura Yaacob berkongsi rasa pilu selepas menerima mesej dan lagu 'Seadanya Aku' daripada suaminya, Shahronizam Noor, yang sedang dalam proses pemulihan.
  • Lagu tersebut dianggap Safura sebagai luahan hati suaminya yang masih bergelut dengan kesihatan selepas pembedahan membuang ketumbuhan di bahu kanan.
  • Shahronizam menjalani beberapa pemeriksaan dan pembedahan sejak Ogos lalu dan kini masih menunggu keputusan makmal untuk mengetahui jenis ketumbuhan tersebut.
  • Pelakon itu reda dengan apa jua keputusan makmal dan bersedia menjalani rawatan susulan termasuk radioterapi jika perlu.
  • Shahronizam kini berehat daripada penggambaran dan dijangka kembali bekerja pada Disember depan.

Pelakon Safura Yaacob tidak dapat menahan rasa pilu selepas menerima kiriman mesej dan sebuah lagu berjudul Seadanya Aku daripada suaminya, aktor Sahronizam Noor, yang kini masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahu kanan.

Menerusi hantaran di TikTok, Safura memuat naik swafoto bersama suaminya dengan latar lagu tersebut.

Menurut Safura, lirik daripada lagu itu membuatkan dirinya sebak kerana merasakan ia seperti luahan isi hati suaminya yang masih bergelut dengan kesihatan.

“Tiba-tiba malam ini dapat mesej dari suami dengan lagu ini. Sedih hati dengar kata-kata ini… seolah-olah dia meluahkan segalanya di sini.

“Aku mendengar dengan jiwa yang luluh dalam titis air mata. Serah segalanya pada Allah kerana Dialah yang mengatur hidup kita sebaiknya.

“Sungguh banyak rintangan yang kita lalui bersama. Reda… moga jodoh itu ada,” katanya.

Sebelum ini, Shahronizam, 53, memaklumkan keadaannya masih belum stabil biarpun sudah menjalani pembedahan, malah masih menunggu keputusan makmal untuk mengetahui jenis ketumbuhan yang dialaminya.

Ogos lalu, aktor itu menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ampang sebelum dirujuk ke Hospital Ampang. Pada 12 September, beliau menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Buat masa ini, Sahronizam berehat daripada penggambaran namun memaklumkan akan kembali bekerja pada Disember depan.

Dalam perkembangan sama, pelakon itu turut reda dengan apa jua keputusan analisis makmal terhadap ketumbuhan yang dialaminya, termasuk jika ia disahkan sebagai kanser.

Katanya, dia bersedia menjalani rawatan susulan seperti radioterapi dan menganggap setiap ujian itu sebagai ketentuan Allah.

 

Sumber: TikTok

Must-Watch Video

Advertisement