Penggambaran filem Polong bukan pengalaman biasa bagi pelakon Mimi Lana.
Menggabungkan elemen seram dan 'ganas', Mimi Lana akui naskhah arahan Zulkarnain Azhar itu antara yang paling mencabar sepanjang kariernya.
Advertisement
"Dari segi visual dan mood, Polong ni memang lain. Saya sendiri rasa macam tengah berlakon dalam filem luar negara. Ada dua versi cerita ni, satu untuk tayangan di Malaysia dan satu lagi untuk dihantar ke festival antarabangsa,” katanya.
Menurut Mimi Lana, dia terlibat dalam beberapa babak ekstrem termasuk adegan bermandi darah yang dirakam semalaman.
"Saya duduk dalam darah tu dari pukul tujuh malam sampai enam pagi esok. Rambut pun keras sebab darah palsu dan kesan make-up. Proses solekan pun ambil masa dua hingga tiga jam sebelum masuk set sebab ada babak yang wajah saya elok, ada yang dah rosak teruk.
“Saya tak boleh cerita banyak, nanti spoil! Tapi memang ada babak ‘kerat-kerat’. Filem ni berani sebab 'gore' dia kuat, tapi masih ada mesej dan nilai tersendiri,” ceritanya.
Selain babak ekstrem, suasana penggambaran turut memberi pengalaman unik. Filem ini menjalani penggambaran di kawasan flat kosong di Bukit Beruntung serta di sebuah penjara lama di Johor yang sudah ditutup.
“Kawasan tu memang menyeramkan, terutama waktu malam. Kadang-kadang tengah shoot pukul tiga, empat pagi, pelakon dalam kostum hantu tiba-tiba lalu depan mata. Memang terkejut! Tapi gangguan sebenar tak ada sebab kita semua sentiasa berhati-hati.
“Kita semua tahu cerita ni diinspirasikan daripada kisah benar, jadi kena jaga niat dan tutur kata. Produser pun pesan supaya jangan cakap bukan-bukan,” jelasnya.
Mimi Lana turut menegaskan bahawa dia tidak memilih produksi berdasarkan saiz atau populariti.
“Saya tak kisah bekerja dengan produksi kecil atau besar, asalkan jalan ceritanya kuat dan wataknya menarik. Studio besar mungkin lebih komersial, tapi produksi bebas banyak main dengan rasa. Saya suka dua-dua.
"Saya rasa ini filem tempatan paling berani yang pernah saya sertai. Saya tak sabar nak tengok hasil akhirnya di pawagam nanti,” katanya menutup bicara.
Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.
Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria.