Sekilas
- Zhiddin Aziz berkongsi pengalaman budaya unik ketika memakai seluar slack ke masjid di Indonesia yang mendapat pandangan pelik dari jemaah setempat.
- Seorang pakcik di sana bertanya sama ada Zhiddin baru balik umrah kerana cara pakaiannya ketika solat dianggap luar biasa.
- Perkongsian Zhiddin menekankan bahawa sesuatu yang biasa di satu tempat boleh jadi ganjil di tempat lain, terutama dalam konteks budaya dan norma sosial.
Pempengaruh Zhiddin Aziz berkongsi salah satu pengalaman baharu sepanjang enam bulan berada di Indonesia.
Menerusi hantaran di Threads, Zhiddin menceritakan situasi apabila ke masjid dengan mengenakan seluar slack yang dianggap biasa di Malaysia namun menerima persepsi berbeza daripada jemaah setempat di sana.
"Hampir 6 bulan saya di Indonesia, dan ini antara kejutan budaya saya alami.
"Pada suatu Jumaat, saya ke masjid berseluar slack. Saya perasan ramai memandang dengan wajah pandangan yang pelik.
"Seusai pulang, kawan Indonesia bagitahu… ada pakcik bertanya kepada dia tentang saya, 'Betul ke dia baru balik umrah? Kenapa solat pakai seluar?'.
"Begitulah sedaghe, sesuatu yang dianggap biasa di tempat kita, boleh jadi ganjil di tempat mereka," tulisnya.
Perkongsian itu membuka mata ramai apabila Zhiddin merumuskan bahawa sesuatu yang dianggap normal di sesuatu tempat boleh kelihatan janggal di lokasi lain.
"Saya tak perlu bagitahu masjid mana pun. Cukup kalian tengok posting daripada warga Indonesia sendiri yang saya SS atas ni.
"Kalau kisah saya tidak benar, lalu mengapa menjadi perhatian untuk dia hasilkan video berkenaan sarung dan seluar ketika solat Jumaat?
"Semestinya kerana isu tersebut menjadi kelaziman ketika pembuat konten di negara sendiri kan?" tambahnya.

Perkongsian itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Ramai berpendapat, di Malaysia seluar slack sering dikaitkan dengan pakaian kerja, menyebabkan ia diterima sebagai pakaian sesuai untuk solat.
“Di Malaysia memang begitu, kebanyakan orang solat Jumaat terus dari pejabat atau tapak binaan. Jadi seluar panjang pejabat dianggap normal,” kata seorang pengguna.
Ada juga yang menjelaskan bahawa di Indonesia, kain pelikat atau sarung lebih sinonim dengan pakaian ibadah, malah ada jemaah yang akan menukar pakaian khusus sebelum solat bagi memastikan kesucian dan keselesaan.
“Di sana, bersolat mesti lain daripada pakaian harian. Seluar dipakai ke mana-mana, jadi mereka rasa kurang bersih untuk solat,” tulis seorang netizen yang pernah menetap di Jakarta.
Dalam masa sama, sebahagian netizen menegaskan bahawa aspek paling penting dalam ibadah adalah menutup aurat dan kebersihan, bukan bentuk pakaian itu sendiri.
“Tak kisahlah seluar atau kain, asalkan tutup aurat dan bersih. Nabi sendiri pakai sirwal di dalam jubah,” ujar seorang lagi pengguna.