Skip to main content

Filem

"Saya Masih Tahu Agama, Bukanlah Jahil Sangat" - Shuhaimi Lua Nafi Wujud Adegan S*ks Dalam Manrobbuka

manrobbuka

Sekilas

  • Pengarah Shuhaimi Lua menafikan dakwaan adegan ranjang dalam filem seram sulungnya, Manrobbuka, dirakam secara eksplisit dan menjelaskan ia hanya teknik kamera untuk mood dramatik.
  • Shuhaimi memberi peluang kepada pelakon baharu sebagai usaha melahirkan bakat baru dalam industri tanpa mengutamakan populariti semata-mata.
  • Manrobbuka dibiayai sendiri oleh Shuhaimi dengan kos RM500,000 dan akan melalui penilaian ketat Lembaga Penapisan Filem sebelum tayangan tahun depan.

Pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan dakwaan kononnya filem seram sulung arahannya, Manrobbuka, memaparkan adegan ranjang secara jelas.

Shuhaimi yang juga pemilik Tanah Beris Film Production berkata, babak melibatkan Haidar dan Wanie Ooi itu tidak pernah dirakam secara eksplisit seperti yang disangka, sebaliknya hanya menggunakan teknik kamera bagi menyampaikan mood dramatik dalam penceritaan.

“Saya terkejut juga apabila ramai yang bertanyakan hal ini. Mungkin ada pelakon atau krew yang sudah berkongsi tentang babak-babak yang ada dalam filem ini.

“Saya masih tahu batas agama dan sensitiviti masyarakat. Saya bukanlah jahil sangat. Tak mungkinlah saya nak tunjuk adegan seks. Itu cuma angle kamera, bukan apa yang orang sangka.

“Saya tahu dah ada yang mula bercakap tentang hal ini, namun seperti apa yang saya jelaskan, ia hanya teknik kamera. Tak lebih daripada itu.

“Ada sebab kenapa diwujudkan babak sebegitu dalam filem seram ini. Kenalah tonton apabila ditayangkan di pawagam tahun depan,” katanya.

Shuhaimi menegaskan semua adegan dalam Manrobbuka akan melalui proses penilaian ketat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum tayangan.

Dalam masa yang sama, Shuhaimi turut berkongsi realiti yang jarang dibualkan dalam industri iaitu keberaniannya mempertaruhkan pelakon-pelakon baharu untuk menggalas watak utama dalam filem ini.

“Pelakon popular tak semestinya menjamin pulangan atau menjadi faktor utama orang datang ke pawagam. Sebelum ini kita lihat, ada filem yang meletakkan barisan pelakon hebat namun tiket kurang laku.

“Penonton sekarang lebih matang dan bijak. Mereka tengok jalan cerita, tengok lakonan, bukan populariti.

“Jujurnya, kekuatan filem hari ini bergantung pada penceritaan, kesesuaian watak dan lakonan jujur, bukannya jumlah pengikut media sosial.

“Selain itu, sebagai pengarah yang sudah lebih 20 tahun dalam industri, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi peluang kepada pelakon baharu yang mempunyai pakej lengkap dan boleh pergi jauh.

“Kalau bukan kita yang bagi peluang, siapa lagi? Industri kita perlukan pelapis dalam masa yang sama tidak mengetepikan pelakon-pelakon sedia ada.

“Dalam masa yang sama, pelakon baharu yang diberikan peluang ini haruslah serius dan mengambil cabaran ini untuk buktikan bakat yang ada,” katanya.

Shuhaimi juga mendedahkan bahawa Manrobbuka dibiayai sepenuhnya menggunakan modalnya sendiri bernilai RM500,000 kerana mahu karya itu lahir mengikut visi peribadinya.

“Saya keluarkan kos sendiri. Saya nak filem ini lahir dengan apa yang saya bayangkan. Ini naskhah jiwa saya.

“Tak dinafikan ia mengambil risiko kerana duit sendiri, namun saya harus berani,” ujarnya.

Manrobbuka merupakan filem pertama terbitan Tanah Beris Film Production Sdn Bhd dan arahan kedua Shuhaimi selepas Pontianak 200kg.

Antara pelakon terlibat ialah Wanie Ooi, Khaled Asharief, Haidar Hasanudin, Noralbaniah, Kazar Saisi, Raja Azmi, Adam Furqon, Ariff Idrus dan Ferth Jasni.

Must-Watch Video

Advertisement