Setelah mampu bertahan lebih dua dekad sejak penubuhan di tahun 1996 silam, dengan bekalan enam album studio penuh bersama puluhan karya yang ‘berisi’, tidak hairan kugiran Spider disifatkan sifu mereka, Datuk Dr M Nasir sebagai degil tetapi bakal menjadi repertoir masa depan.
Spider Unplugged yang dibawakan oleh penganjur Naga Legend Entertainment di Megastar Arena Kuala Lumpur tanggal 25 Oktober adalah saksi pernyataan yang diberikan M Nasir tentang kugiran asal Johor Bahru ini.
Advertisement
Melalui Spider Unplugged, ‘tuan terutama’ sang vokalis, Tam bersama kesatria lainnya iaitu Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar) diperkuat barisan pemuzik hebat, Firdaus Mahmud selaku Pengarah Muzik dan pemain keyboard, Paang Zaman (perkusi) dan Konduktor Muzik, Rafi Mohd yang memimpin pasukan horns memberi literasi tidak langsung tentang makna muzik dan persembahan yang ‘cantik’.

Spider - nama yang dilihat seperti ‘apalah nama grup spider’ atau penggunaan nama binatang seolah sudah tiada idea lebih baik untuk difikirkan lalu dijenamakan pada sebuah kugiran sebenarnya telah berjaya menyampai metafora mereka dengan baik.
Spider atau labah-labah secara metafora dilihat sebagai lambang kesabaran kerana teknik memburunya iaitu memasang sarang dan menunggu mangsa dengan tingkah laku melambangkan kreativiti dan kelicikan.

Sarang labah-labah pula boleh dilihat sebagai metafora untuk alam semesta, sebagai struktur yang memerlukan pembinaan yang rumit dan teliti. Labah-labah juga dikaitkan dengan misteri, pertumbuhan, kuasa dan feminin. - Begitu sekurangnya symbolopedia.com menghuraikan simbolik metafora haiwan tersebut.
Dan di panggung Spider Unplugged, kugiran tersebut telah memaknai keseluruhan metafora itu apabila memerangkap ribuan peminatnya ke dalam sarang persembahan berbisa mereka.
Atmosfera unplugged bertebaran pada malam itu. Dengan set persembahan ringkas tetapi padat sarat elemen akustik moden, permainan lampu yang melambangkan ‘warna-warna’ tahun 90-an, latar grafik ‘joyful’ yang serta penampilan Spider yang grunge menyempurnakan konsep yang dibawa.

Lalu setelah Spider memainkan 24 buah ‘lagu-lagu kebangsaan’ dalam durasi lebih dua jam seperti Ngam Ho, Aladdin, Cinta Dewa Dewi, Mabok, Tapi Bagaimana, Relaku Pujuk dan diakhiri dengan Mungkinkah Terjadi keraian karya kugiran itu disambut gegak gempita.
Apa lagi Spider membawakan juga karya yang jarang dimainkan dalam konsert sebelum ini seperti Nak Lantak dan Jangan Kau Berputus Asa serta julung kali mengalunkan lagu cover milik Kembara, Impian Seorang Nelayan lalu juga memperkenalkan single terkini mereka, Sungguh Ku Telah Jatuh Cinta (SKTJC), Spider Unplugged menjadi sebuah malam yang sangat magis dengan untaian momen manis yang tak terlupakan.
Sebagai kugiran penuh pengalaman yang bergabung dengan para pemuzik profesional, konsert Spider Unplugged terdengar dan terlihat mulus dengan ‘playlist’ wajib lainnya seperti Kacap Terlabik, Kasih Latifah dan Waduh Tijah.
Konsep unplugged atau merujuk kepada persembahan akustik atau secara langsung tanpa menggunakan alat muzik elektrik atau kesan bunyi elektronik yang berat telah berjaya ditonjolkan dengan kemas lewat Spider Unplugged.
Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan, Spider Unplugged adalah sebuah ‘konsert yang sebenar’, bukan sekadar busking menyanyi, petik gitar dan ketuk dram tanpa ilmu dan rencana rapi.
Unplugged yang dibawa Spider menjadi tanda aras bahawa bermain tanpa alat muzik elektrik adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dengan tekun kerana satu kesilapan akan ‘mencacatkan’ persembahan.
Dan Spider juga membuktikan karyawan seni muzik Malaysia punya ke-genius-an tersendiri ; mengingatkan bagaimana suasana peminat Spider buat kesekian kalinya begitu antusias, bangga, menghargai dan tidak malu mendukung bahan lokal kerana kredibiliti bukan hanya populariti.
