Sekilas
- Norman Hakim mengucapkan terima kasih atas kasih sayang ibu mentuanya yang membesarkan enam anak dengan penuh dedikasi selama 15 tahun.
- Beliau berjanji akan terus membimbing dan menjaga isterinya, Memey Suhaiza, sebagai penghormatan kepada ibu mentuanya.
- Norman juga bersyukur kerana segala urusan pengebumian ibu mentuanya, Norlela Abdul Rahman, berjalan lancar dari hospital hingga ke liang lahad.
Pelakon dan usahawan Norman Hakim menzahirkan penghargaan atas kasih sayang arwah ibu mentuanya sepanjang 15 tahun diterima sebagai sebahagian daripada keluarga isterinya, Memey Suhaiza.
Menerusi nukilan di Instagram, Norman menyifatkan ibu kepada Memey itu sebagai insan yang banyak mencurahkan kasih sayang dalam membesarkan enam anak.
“Dari lubuk hati yang paling dalam, terima kasih Mak, atas pinjaman kasih sayang Mak sepanjang 15 tahun saya diterima sebagai sebahagian daripada keluarga ini.
“Mak adalah ibu yang begitu agung, membesarkan enam orang anak dengan limpahan kasih sayang, akhlak yang indah dan pegangan akidah yang kuat, semuanya dengan izin Allah SWT,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Norman turut menitipkan janji untuk terus membimbing serta menjaga Memey sebaik mungkin.
“Salah seorang bidadari Mak Allah ‘pinjamkan’ kepada saya sebagai isteri; insan yang menyambut saya dengan penuh kasih sayang dan setia menemani perjalanan hidup ini.
“Insya-Allah, akan saya bimbing dan pimpin sebaiknya, agar kita semua dapat bertemu kembali di negeri yang kekal dalam rahmat dan reda Allah,” kongsinya.
Norman turut meluahkan kesyukuran apabila segala urusan jenazah ibu mentuanya berjalan lancar, bermula dari hospital sehingga selesai pengebumian.
“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, segala urusan Mak dipermudahkan.
“Bermula saat Mak menghembuskan nafas terakhir, perjalanan dari hospital pulang ke rumah, urusan memandikan dan mengafankan, seterusnya dibawa ke masjid untuk disolatkan hingga ke liang lahad dan akhirnya dikebumikan, semuanya berjalan dengan begitu lancar,” ujarnya.
Untuk rekod, ibu mentua kepada pelakon Norman Hakim iaitu Norlela Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.49 pagi, Rabu lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor.