Sekilas
- Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red kini berbaik dengan bekas isteri, Adira Suhaimi, demi menjaga hubungan baik untuk anak-anak mereka.
- Datuk Red menegaskan mereka fokus pada anak dan mengelak konflik yang boleh memberi kesan emosi kepada mereka.
- Selepas menunaikan umrah buat pertama kali, Datuk Red berdoa untuk menyelesaikan hutang dan menyatukan anak-anak di bawah satu bumbung.
Usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red akhirnya bersuara mengenai hubungan terkini dengan bekas isteri, penyanyi Adira Suhaimi.
Mengakui pernah berlaku pertelingkahan antara mereka, Datuk Red menjelaskan keadaan kini sudah kembali baik demi masa depan empat cahaya mata mereka.
“Kami berdua sekarang sudah okey. Saya dengan Adira ni lebih kepada kawan, lebih kepada menjaga hubungan baik. Bila dah berpisah dan tak boleh rujuk kembali, kami tetap tak boleh bermusuh sampai bila-bila kerana kami ada anak,” katanya kepada Gempak.
Jelasnya lagi, tidak wajar konflik berlarutan sehingga memberi kesan emosi kepada anak-anak.
“Kami kena profesional. Tak ada masa nak turun naik mahkamah. Jadi kami ambil jalan paling baik untuk anak-anak. Takkan nak tunjuk contoh tak elok pada mereka.
“Tapi kita kena percaya juga, kalau dah jodoh, takkan ke mana. Buat masa sekarang saya tak fikir apa-apa. Fokus saya anak saja. Jadi kami berbaik untuk anak, tak lebih daripada itu," ujarnya.
Baru pulang daripada mengerjakan umrah, Datuk Red menyifatkan kunjungannya ke Tanah Suci sebagai antara perjalanan paling menyentuh jiwa dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, umur 47 tahun baru pertama kali jejak kaki ke rumah Allah. Pengalaman tu beri tenaga luar biasa untuk saya.
“Saya ni manusia pendosa, banyak buat silap. Bila sampai umur begini, Allah masih beri kesedaran dan kekuatan.
“Saya dah berjanji pada diri, balik nanti saya akan selesaikan apa yang sepatutnya saya selesaikan,” ujarnya.
Menurutnya, doa paling utama yang dipohon di Tanah Suci adalah berkaitan hutang dan keluarga.
“Doa pertama saya adalah untuk selesaikan hutang. Lepas tu saya doa untuk kumpulkan semua anak di bawah satu bumbung. Insya-Allah.
“Memang seronok, air mata tu jatuh sendiri. Saya tak sangka boleh jejak ke rumah Allah sebab status saya yang bankrap.
“Kalau guna duit sendiri, mungkin orang berhutang bising. Tapi Allah jemput bukan kerana saya ada duit atau tidak. Allah jemput sebab kasih. Syukur sangat,” katanya lagi ketika ditemui pada program Meet & Greet Jakel.
Sebelum ini, Adira mengesahkan memang berlaku perbalahan antara mereka namun memilih untuk tidak berkongsi punca sebenar.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 3 Disember 2015 dan bercerai pada 24 April tahun lalu. Mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob, 3.