Sekilas
- Azeva Natassha dari Talk To My Manager 2 sedang berusaha memperbaiki diri dengan menutup aurat selepas menerima teguran daripada bapanya, Ameng Spring.
- Perubahan Azeva mengambil masa dan kesungguhan, termasuk mula memakai tudung dan baju lengan panjang dalam kehidupan seharian.
- Pengalaman ibunya dimasukkan ke ICU menjadi titik perubahan yang mendekatkan Azeva kepada Allah dan memberi kekuatan untuk terus berubah.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Azeva Natassha, mengakui sedang berusaha memperbaiki diri termasuk dalam aspek penampilan dan penjagaan aurat selepas menerima teguran daripada bapanya, Ameng Spring.
Menurut Azeva, dia menghargai setiap nasihat yang diberikan oleh ahli keluarga dan mengakui masih berada dalam proses untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya cuma nak bagitahu papa, saya minta maaf kerana mengecewakan papa. Saya sangat bersyukur kerana papa menegur mengenai aurat saya. Saya tahu itu salah.
“Ketika ini, saya pun sedang perlahan-lahan mencuba menjadi lebih baik. Jika anda melihat penampilan saya yang dahulu, saya tidak menutup seperti ini.
“Saya sudah perlahan-lahan menerima hidayah. Saya harap anda semua boleh mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya kepada Gempak.
Azeva turut berkongsi bahawa perubahan yang dilaluinya bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya mengambil masa dan memerlukan kesungguhan untuk istiqamah.
Katanya, dia kini semakin selesa mengenakan pakaian yang lebih sopan dan telah mula membeli tudung untuk dipakai dalam kehidupan seharian.
“Saya pun sudah mula membeli tudung. Kadang-kadang saya suka pakai tudung dan berjubah. Saya kini lebih selesa pakai baju lengan panjang.
“Kalau ikutkan baju malam ini, saya tak nak nampak lengan. Kalau boleh nak jahit terus dengan sarung tangan, tapi ini baju milik wardrobe TTMM2,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azeva mendedahkan detik yang banyak mengubah perspektif hidupnya adalah ketika ibunya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih mendekatkan diri kepada Allah dan menyedari bahawa setiap ujian mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya mendapat hidayah ketika mama dimasukkan ke ICU. Ketika itu, saya rasa lebih rapat dengan Allah. Allah sentiasa ada dengan saya.
“Alhamdulillah, Dia beri kesembuhan kepada ibu saya. Allah juga banyak memberikan rezeki kepada saya.
“Doakanlah yang terbaik buat saya dan mama. Mama pun sudah pakai tudung,” katanya.
Terdahulu, menerusi satu sesi siaran langsung, Ameng memaklumkan dirinya kerap kali sudah menegur Azeva berkaitan aurat.
Jelas Ameng lagi, sebagai bapa, dia sudah pun menjalankan tanggungjawabnya dan kini terpulang kepada Azeva untuk menentukan cara hidupnya itu.