Sekilas
- Azeva Natassha dari Talk To My Manager musim ke-2 berkongsi pentas bersama bapanya, Ameng Spring, dalam konsert minggu pertama yang menjadi detik paling berharga baginya.
- Pengurus dan penerbit Datuk A. Aida merancang konsep persembahan ini untuk memperkenalkan Azeva sebagai anak Ameng serta menunjukkan kemahiran bermain gitarnya.
- Persembahan ini juga menjadi peluang untuk keluarga mereka bersatu semula selepas berpisah sejak Azeva berusia tiga tahun, dengan hubungan yang kini semakin baik antara semua pihak.
Bintang Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), Azeva Natassha gagal menahan sebak selepas diberikan peluang untuk berkongsi pentas bersama bapanya yang juga penyanyi Ameng Spring di konsert minggu pertama .
Bagi Azeva, momen itu merupakan detik paling berharga dalam hidupnya selama ini.
“Pertama kali buat persembahan bersama ayah sememangnya buat saya berasa sedih. Saya memang tak boleh fikir langsung. Sejak daripada dahulu, saya sudah terpisah dengan ayah. Kini, kami dapat berkongsi pentas pula. Saya jadi sangat sebak,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, pengurus kepada Azeva yang juga penerbit terkenal, Datuk A. Aida menjelaskan dia sebenarnya sudah lama merancang konsep persembahan ini bagi memperkenalkan anaknya itu kepada khalayak.
“Pada minggu pertama dan pengenalan ini, saya ingin perkenalkan Azeva sebagai anak kepada Ameng dan punyai kemahiran bermain gitar.
“Saya telah susun jalan cerita ini sebagai sebahagian daripada persembahan. Bila dapat tugasan minggu pengenalan, idea inilah yang terus terlintas di fikiran.
“Walau apapun yang berlaku, Ameng memang kena tolong anaknya ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Azeva turut meluahkan rasa syukur apabila pentas TTMM2 ini menjadi salah satu asbab untuk keluarganya bersatu semula.
“Papa sangat mudah untuk memberikan kerjasama. Dia sanggup luangkan masa untuk datang ke sesi rehearsal. Secara tidak langsung kami dapat berkumpul semula sebagai keluarga. Bila dapat melihat mama dan papa ada bersama, itu yang buatkan saya sebak.
“Mereka berpisah ketika saya berusia tiga tahun. Alhamdulillah, sekarang ini, Allah permudahkan hubungan saya dan papa. Kami jadi semakin baik. Saya sangat bersyukur kerana saya tak pernah merasai momen seperti ini sebelum ini,” ujarnya.
A. Aida juga turut memaklumkan hubungannya bersama Ameng kini sangat baik dan mereka tiada masalah untuk bekerjasama.
“Ikhlas saya katakan, saya dan Ameng memang tiada masalah. Dia adalah ayah kepada anak-anak saya. Nanti anak-anak saya nak berkahwin, dia tetap akan menjadi wali.
“Saya tiada masalah dan okay sahaja bersama Ameng. Selepas bercerai, inilah kali pertama saya dan Azeva berada satu pentas bersama Ameng. Tuhan pertemukan semula kami sekeluarga,” akhirinya.
Terdahulu, Ameng tampil membuat penampilan istimewa untuk berkolaborasi bersama Azeva di konsert minggu pertama TTMM2.
Momen tersebut nyata menyentuh hati banyak pihak lebih-lebih lagi apabila Azeva memilih untuk membawakan lagu Sejiwa yang juga merupakan single pertama Ameng bersama kumpulan Spring.