Sekilas
- Aedy Ashraf kini bergelar penerbit filem aksi TARUNG: Unforgiven selepas lebih 20 tahun berkarier sebagai pelakon.
- Filem sulung terbitannya ini turut menampilkan kerjasama dengan kumpulan muzik Hujan dan diarahkan oleh Razaisyam Rashid.
- TARUNG: Unforgiven dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei 2026 dengan barisan pelakon hebat dan aksi penuh debaran.
Selepas lebih dua dekad bergelar pelakon, Aedy Ashraf kini melangkah ke fasa baharu dalam karier apabila tampil sebagai penerbit menerusi filem aksi TARUNG: Unforgiven.
Langkah berani itu bukan sahaja mencerminkan kematangan dalam perjalanan seninya, malah menandakan evolusi kerjayanya daripada seorang pelakon kepada individu yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kreatif di belakang tabir.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Aedy, 33, turut memberi bayangan mengenai kerjasama bersama kumpulan muzik Hujan bagi projek filem sulung terbitannya itu.
“Dulu serong sekolah lepak CC layan lagu Hujan kat YouTube, tau-tau hari ini dapat kerjasama sekali untuk filem pertama aku produce dengan @Alpha47 TARUNG: Unforgiven.
“Kehidupan memang penuh perkara yang tidak dijangka,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, menerusi perkongsian di media sosial, Astro Gempak turut berkongsi teaser ketiga poster filem TARUNG: Unforgiven yang menampilkan wajah Aedy sendiri.
TARUNG: Unforgiven merupakan karya terbaharu arahan pengarah Razaisyam Rashid selepas kejayaan filem Pusaka serta fenomena siri Kahar: Kapla High Council yang mendapat sambutan hangat penonton.
Filem aksi tersebut dijangka membariskan pelakon hebat tanah air selain menjanjikan jalan cerita penuh debaran dan aksi.
Sekadar info, TARUNG: Unforgiven dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.