Sekilas
- Filem Tiket Sehala terbitan Key Billions Sdn. Bhd mengangkat kisah sebenar mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara, khususnya di Korea Selatan.
- Filem ini menampilkan pelakon dari empat negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, serta melibatkan kru produksi dari Malaysia dan Korea Selatan.
- Tiket Sehala akan ditayangkan di pawagam terpilih mulai Ogos 2026 dan bertujuan memberi kesedaran kepada penonton tentang bahaya sindiket penipuan kerja.
Syarikat produksi filem, Key Billions Sdn. Bhd dengan bangganya melancarkan filem terbaharu terbitan mereka yang berjudul Tiket Sehala.
Menurut pengarah filem Rahila Ali, naskhah yang dihasilkannya ini mengangkat kisah tentang kes mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
“Tiket Sehala adalah berinspirasikan daripada kisah benar yang sememangnya sebuah masalah global, termasuk rakyat Malaysia sendiri ramai yang terjebak dalam sindiket tersebut.
“Ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan rasa terbitnya tanggungjawab untuk menunjukkan kesan dan akibatnya kepada penonton apabila menjadi mangsa,” ujarnya.
Lebih menarik, filem ini turut menampilkan barisan pelakon empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Antaranya pelakon dari Korea Selatan sepertiHyunjun Sun, Ninja dari boyband SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra (Indonesia).
Antara barisan pelakon yang membintangi filem Tiket Sehala adalah Noki K-Clique, Jaa Suzuran Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin (Saha Champ).
Sementara itu, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap berkata, pihaknya berminat untuk menerbitkan filem ini kerana kelainan naskhah yang ditampilkan.
“Saya melihat cerita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang dihasilkan, sedangkan ia satu masalah yang cukup besar dan membimbangkan.
“Jadi, menerusi Tiket Sehala, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran buat seseorang individu untuk lebih berhati-hati jika menerima tawaran bekerja di luar negara,” jelasnya.
Ujarnya, filem ini turut menjalani penggambaran di Korea Selatan, malah turut menggabungkan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
“Dengan gabungan tersebut, sekurang-kurangnya memberikan pengalaman kru produksi Malaysia mempelajari sesuatu yang baharu daripada pihak luar agar dapat meningkatkan lagi
kualiti filem tempatan pada masa akan datang,” ujarnya.
Tiket Sehala
Filem ini membawa penonton menyusuri kisah gelap tentang sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam satu sistem pemerdagangan manusia yang kejam di
Korea Selatan.
Alif, Putri dan Taqy adalah mangsa dalam kerakusan sindiket yang mengambil kesempatan atas keterdesakan hidup manusia.
Filem ini bakal menemui anda di pawagam terpilih pada Ogos 2026 ini.