Skip to main content

Hiburan

Watak ‘Dahlia’ Dalam Good Boys Go To Heaven Buat Zahirah Macwilson Menangis Berkali-Kali - “Saya Terganggu Kerana…”

dvddf

Sekilas

  • Selepas hampir dua tahun berehat, Zahirah Macwilson kembali berlakon menerusi drama Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven, yang mengangkat kisah kehilangan anak dan cabaran emosi seorang ibu.
  • Zahirah berkongsi pengalaman mendalamnya membawakan watak Dahlia, yang sangat dekat dengan dirinya sebagai ibu, serta kerjasama lancar bersama pelakon Beto Kusyairy.
  • Drama lapan episod ini dijangka ditayangkan tahun hadapan dan turut menampilkan pelakon lain seperti Firdaus Karim, Amirul Affendi, Sky Iskandar dan Malek McCrone.

Selepas hampir dua tahun ‘berehat’ daripada dunia lakonan untuk memberi tumpuan kepada keluarga, pelakon Zahirah Macwilson akhirnya kembali ke set menerusi naskhah terbaharu terbitan Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven.

Menurut Zahirah atau Nur Zahirah MacWilson, 30, keputusan untuk kembali berlakon dibuat selepas tertarik dengan kekuatan emosi watak Dahlia yang dekat dengan dirinya sebagai seorang ibu.

“Kali pertama bertemu pengarah, Ariff Zulkarnain, saya terus tersentuh apabila diberitahu jalan cerita drama ini, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri kini seorang ibu.

“Saya nangis berkali-kali, bukan hanya ketika perjumpaan pertama, malah sepanjang sesi bacaan skrip pun saya tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Zahirah berkata, watak tersebut turut memberi cabaran besar kerana ia melibatkan kisah kehilangan anak, sesuatu yang sangat menyentuh perasaannya sebagai seorang ibu.

“Saya agak terganggu dengan watak ini kerana ia terlalu dekat dengan jiwa seorang ibu. Sekarang bercakap tentang kehilangan anak pun sudah cukup membuatkan saya beremosi.

“Jadi saya banyak lakukan persiapan mental, dan ada masa-masanya saya perlu mengasingkan diri di set seketika untuk benar-benar masuk ke dalam karakter,” jelasnya.

Zahirah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi lawatan media ke set penggambaran di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, baru-baru ini.

Dalam drama ini, Zahirah turut pertama kali bergandingan dengan pelakon berkaliber, Beto Kusyairy, yang memegang watak Yasser, suaminya dalam cerita tersebut.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai isterinya. Ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan kerana beliau antara pelakon terhebat di Malaysia.

“Proses bekerja jadi sangat mudah, dia memahami dan memberi ruang untuk kami berbincang tentang karakter. Kami cepat serasi, malah kadang-kadang tanpa dialog pun kami boleh ‘berkomunikasi’ dalam lakonan,” katanya.

Good Boys Go To Heaven mengangkat kisah seorang bapa, Yasser, yang berdepan detik cemas selepas kehilangan anaknya, Ahyan. Lebih memilukan apabila kanak-kanak itu ditemui mati dibunuh secara kejam, sekali gus menjadikan Yasser suspek utama.

Drama lapan episod terbitan Astro Originals itu dijadualkan tayang pada tahun hadapan dan turut dibintangi Firdaus Karim, Amirul Affendi, Sky Iskandar dan Malek McCrone.

Must-Watch Video

Advertisement