Stesen radio Islamik kontemporari di bawah Astro Audio, ZAYAN, berjaya mencuri tumpuan pada persidangan Radiodays Asia 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 1 hingga 3 September lalu.
Acara tahunan itu menghimpunkan penggiat industri radio dan audio dari seluruh dunia, sekali gus menjadi pentas penting buat ZAYAN berkongsi pendekatan kandungan Islamik moden yang segar, inklusif dan relevan dengan gaya hidup masa kini.
Advertisement
Pengurus Saluran ZAYAN, Wan Syahrul Amry bin Wan Mansor, yang mewakili stesen tersebut berkata, kejayaan ZAYAN membina hubungan rapat dengan audiens muda terletak pada keseimbangan antara hiburan dan mesej bermanfaat.
“Kami di ZAYAN percaya kandungan Islamik boleh disampaikan dengan cara segar, inklusif dan dekat dengan jiwa pendengar masa kini. Melalui pendekatan kontemporari, kami bukan sahaja membawa mesej positif, tetapi juga membina komuniti yang saling menyokong dan memperkasa,” katanya.
Dengan gabungan muzik, motivasi, perkongsian ilmu dan interaksi dua hala, ZAYAN dilihat bukan sekadar stesen hiburan, tetapi juga medium dakwah moden yang progresif.
Penyertaan ZAYAN di Jakarta turut menarik minat wakil negara dengan populasi Muslim besar seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan negara Timur Tengah, yang melihat model ZAYAN sebagai contoh berkesan untuk pembangunan radio Islamik di rantau masing-masing.
Radiodays Asia, yang kali ini memilih Jakarta sebagai tuan rumah, menjadi medan penting bagi perbincangan serantau melibatkan pemimpin industri, pakar kandungan dan inovator teknologi. Penyertaan ZAYAN membuktikan kandungan Islamik kontemporari mampu bersaing di pentas global, selain membuka peluang kerjasama dan pertukaran ilmu bersama pemain industri antarabangsa.
ZAYAN kekal komited untuk memperkasa komuniti melalui kandungan yang membina, menyentuh jiwa serta memberi inspirasi, sekali gus memperkukuh peranan sebagai peneraju radio Islamik kontemporari di Malaysia dan Asia.