Oleh: Afiza Kamarulzaman

Kenapa agaknya?

Ketika baru-baru kahwin dulu, hidup sebagai suami isteri sangat membahagiakan. Habis kerja jam lima petang, terus pecut mahu pulang ke rumah.

Masing-masing tidak sabar mahu menatap wajah pasangan. Tidak sabar mahu makan malam bersama, tidak kisahlah makan di rumah atau bertenggek di tepi warung. Asalkan makan bersama yang tersayang.

Sepuluh tahun kemudian, tidak lagi. Ketika anak sudah dua ke tiga orang, situasi rumah tangga nyata berbeza. Suami tidak lagi mahu menjawab panggilan isteri. Isteri sudah lagi tidak berselera bersama suami.

Hidup sekadar atas nama masih suami dan isteri. Sekadar serumah, sebilik tetapi hati entah ke mana.

Di mana silapnya apabila rumahtangga suram?

Dua-dua silap; suami dan isteri. Rumah tangga umpama pokok yang mesti sentiasa disiram, dibajai dan ada kala di’trim’agak kekal tumbuh subur dan cantik saja. Ada suami, tidak lekat di rumah.

Rimas berlama-lama dengan anak isteri. Lebih suka habiskan masa dengan kawan-kawan atau melepak di kedai mamak. Yang isteri pula, sibukkan sangat hal anak-anak sehingga lupa suami juga perlukan perhatian.

Berikut antara rutin suburkan kembali hubungan:

1. Bercakaplah. Walau hanya beberapa patah perkataan, jangan berkira untuk memulakan komunikasi. Jadikan rutin harian untuk ucapkan ‘good morning’ setiap pagi. Dan, luangkan paling tidak satu jam sebelum tidur untuk berbual santai.


2. Jadi kawan lebih baik. Kenapa ada pasangan lebih rasa seronok bersama kawan-kawan daripada pasangan? Kerana kawan-kawan boleh kongsi apa sahaja keseronokan sedangkan dengan pasangan banyak yang hendak dikawal.

Tak perlu kawal. Apa yang seronok dilakukan bersama kawan-kawan, lakukan juga bersama pasangan tanpa jurang.

3. ‘Time for Two’! Inilah paling penting. Adakan masa berdua tanpa ‘orang ke tiga’. Memang akan ada rasa rindu atau bersalah jika tinggalkan anak-anak. Tetapi, lakukanlah! Tidak ada dosanya tinggalkan anak-anak seketika di bawah penjagaan pembantu rumah atau pengasuh, jika ia akan menjanjikan harapan yang lebih baik untuk kamu sekeluarga.

4. Jangan tidur asing. Ini saya tidak faham. Kalau di barat, suami dan isteri mesti tidur sekatil bersama dan anak diletakkan di bilik lain. Dan, ini juga sudah diajar dalam Islam, yang bilik tidur mak ayah dan anak-anak harus diasingkan.

Sekalipun, mahu sebilik (kerana anak masih kecil), letakkan sedikit jauh dari perbaringan suami dan isteri. Ingat, suami mesti tidur sekatil dengan isteri. Mesti!


5. Kalau dalam kereta pun. Saya faham, ramai yang apabila ada anak kecil, isteri akan memilih untuk duduk di belakang bersama anak-anak dengan alasan mudah untuk uruskan mereka. Tetapi, jika boleh..jika ya, elakkanlah isteri duduk di belakang dan suami sendirian di depan.

Atau mungkin, selepas usai menguruskan anak-anak (anak-anak sudah tidur di kerusi belakang), kembali ke depan untuk menemani suami. Bukankah mesra?


6. Jangan tinggal lama tanpa pesanan. Maksudnya, kalau dalam waktu bekerja, sesibuk mana kirimkan teks untuk pasangan. Hatta hanya bertanya, ‘Sudah makan ke?’ atau ‘Sibukke?’

Kalau tengok Facebook boleh saja diulang buka selang sejam, tak akanlah untuk taip sedikit ayat buat pasangan pun susah? Hai, hailah...agar pasangan tiba-tiba teringatkan kamu.

7. Adakan aktiviti intim di rumah. Paling cikai pun, makan bersama semeja sehari sekali atau solat jemaah.


8. Tukar hiasan rumah. Ini juga bagus sebenarnya. Mengubah kedudukan perabut rumah atau menambahbaikkan dekorasi rumah untuk memberi mood baru yang lebih nyaman dan segar.


9. Kalau keluar tu. Janganlah tinggal pasangan macam dalam perlumbaan lumba lari! Kena ingat datang dengan siapa dan jalan pun tak akanlah sorang-sorang. Kalaupun sudah punya anak kiri dan kanan, sesekali curilah peluang untuk genggam tangan isteri atau rangkul lengan suami.

Ala, tak hilanglah anak tu kalau sekejap fokus untuk pasangan. Lebih baikkan daripada sibuk jenguk handphone!


10. Thowback. Kenang yang manis-manis masa bercinta dulu atau awal-awal berkahwin. Usiklah pasangan dengan mengirimkan gambar lama kalian atau begurau-sendalah bagaimana dia mengangkat kamu saat malam pertama dulu.

Hey, nak malu apa? dia hak kamu dan kamu hak dia. Sudah sah dan halal. Lakukanlah apa saja bersama pasangan yang manis dan yang gila-gila. Lepaskan jangan disimpan!