Rumah tangga adalah padanan perkataan sebuah ‘rumah’ dan sebuah ‘tangga’. Rumah yang elok akan didukung oleh tangga yang kuku yang menjadi penghubung untuk memasukinya. Runtuh tangga, tiadalah dapat menjengah masuk ke dalam rumah itu. Begitulah umpamanya suami dan isteri.


Isteri umpama rumah dan suami bagaikan tangga. Runtuh tangga, goyahlah rumah. Tiadalah penghubung antara suami dan isteri membina mahligai bahagia. Jika terus digunakan pun pasti tidak sempurna dan menunggu masa untuk menyembah bumi. Nah, indahkan perumpaan itu?



Persediaan Sebelum Berumahtangga


Bercakap tentang perkahwinan, memanglah seronok dan terasa manis bahagianya. Namun, perkahwinan bukan sekadar indah untuk diucap, fahami di sebalik tanggungjawab dan amanah yang menunggu selepas diijabkabul. Ia tentang perkongsian hidup lelaki dan wanita yang kemudiannya dikurniakan pula anak-anak sebagai amanah dari Allah swt.


Kata kunci utama dalam membina mahligai adalah persediaan sebelum menjadi suami dan isteri. Umpamanya kita mahu belayar, pastilah kena disiapkan segala jentera dan anak-anak kapalnya. Tidak mungkin mampu sebuah kapal itu belayar selamat sampai ke destinasi jika tanpa persiapan rapi.


Selalu kita dengar wanita yang bakal berkahwin ‘dikerah’ untuk bersedia menjadi isteri. Mak-mak kita akan kata, “kau belajar memasak, nanti dah berlaki tak kena tinggal”. Atau, “Kau kalau tak reti mengemas nanti laki lari!” Adakah benar semua itu tugasan mutlak seorang isteri semata.


Ya, isteri dikurniakan emosi dan fizikal luar biasa. Walaupun dia tidak kuat daripada segi fizikal tenaga tetapi emosinya kuat yang membolehkannya melakukan tugasan rumah tangga melebihi kemampuannya. Manakala, kebanyakan suami bukan tidak bertenaga tetapi kerana adanya sifat ‘malas’ dan budaya yang dipelajari daripada keluarganya yang lelaki tidak perlu buat kerja rumah, maka mereka bersikap tidak peduli.




Kredit Foto: Google



Pikul Tugasan di Rumah Sama-Sama


Jangan menurut budaya dulu-dulu yang tidak tepat. Ya, mungin zaman nenek dan mak kita dulu, kebanyakan suami tidak turun ke dapur membantu isteri. Atau langsung tidak pernah mahu mencuci atau mengemas rumah. Namun, ingatlah Rasulullah saw tidak bersikap seperti itu terhadap isteri-isterinya.


Malahan, jika kita lihat semula. Dulu-dulu, kebanyakan para ibu adalah seorang suri rumah dan mereka tidak bekerja. Maka, sudah pastilah semua tugasan di rumah dilangsaikan tanpa bantuan suami yang bekerja di luar.


Berbeza dengan situasi sekarang di mana boleh dikatakan 80% isteri hari ini bekerja. Jika suami dan isteri sama-sama bekerja, seharusnya tugasan di rumah turut dipikul bersama. Jika isteri sudah membantu suami dalam ekonomi keluarga, mengapa tidak suami juga bantu melunaskan tugasan di rumah.


Pasti sejuk hati isteri apabila suami mampu membantunya ke kedai membeli barang dapur, atau tolong isteri mengemas rumah. Apa lagi kalau dapat suami yang boleh memasak dan mencuci pinggan mangkuk. Jika inilah yang diamalkan dalam rumah tangga, percayalah tidak akan berlaku pertelingkahan atau penceraian dalam keluarga.