Sejak kes pertama Coronavirus 2019-nCoV dilaporkan berlaku di negara kita pada 25 Januari lalu, dialah individu yang memainkan peranan penting untuk menggerakkan jentera kerja bagi memantau perkembangan wabak ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) terus bertindak proaktif, bekerja keras mencari solusi, inisiatif dan merangka pelan bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia. Dan pastinya tanggungjawab yang terpikul dibahu Datuk Dr Noor Hisham bukan mudah. Ketika itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyampaikan perkembanan terkini susulan Malaysia mula dikejutkan dengan penemuan kes pertama positif Covid-19.


Kredit Foto: Google

Tatkala Malaysia dilanda kemelut politik susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tampil memberi kenyataan media saban hari sehingga Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Adham Baba mengambil alih dalam memberi kenyataan kepada media. Dalam masa sama, beliau sentiasa mengemas kini maklumat untuk pengetahuan rakyat Malaysia menerusi perkongsian di media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.


Kredit Foto: Google


Lantaran itu, tidak hairanlah beliau diletakkan dalam senarai tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani krisis wabak Covid-19 di Malaysia. Pengiktirafan tersebut diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menamakan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand. Ketiga-tiga figura ini menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.


Kredit Foto: Google


Menyingkap profesyen Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, (56 tahun), beliau yang berpengalaman luas dalam bidang perubatan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, mula memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah KKM sejak 2013. Setiap kali melihat susuknya tampil memberi kenyataan media, jelas terpancar kebimbangan dan kerisauannya. Tampak penat dan letih namun semua itu diketepikan demi menjalankan tugas dan membekalkan maklumat penting untuk disampaikan kepada masyarakat. Bahkan beliau juga dipuji kerana sentiasa sabar dan tenang menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan semasa sidang media. Tutur katanya cukup lembut dan sopan membuatkan ramai yang tenang mendengarkan beliau berkata-kata. Turut dilabel sebagai individu paling dipercayai dan diyakini rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan Covid-19 di platform media sosial.

Terdahulu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah dipilih menyertai sekumpulan saintis dunia bagi membuat kajian memerangi pandemik Covid-19. Beliau juga salah seorang penandatangan dan ahli Gabungan Penyelidikan Klinikal Covid-19 tersebut. Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan KKM berbangga dapat menyertai gabungan yang berusaha mencari penyelesaian yang akan memberi manfaat kepada semua.


Kredit Foto: Google


PENGALAMAN

-Ketua Pengarah Kesihatan01.03.2013
-Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)29.01.2008
-Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya16.08.2002
-Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin , Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur16.01.1998
-Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia1997-1998
-Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia1997
-Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu01.07.1994
-Master of Surgery Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur1990-1994
-Medical Officer Accident and Emergency Department, Hospital Kuala Lumpur02.10.1989
-House Officer University Hospital Kuala Lumpur01.08.1988

















Sumber: Astro Awani dan Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia