Read
ISMAIL IZZANI Suka ‘Stalk’ Gadis Berhijab di Media Sosial — Awas! Anda Mungkin Pilihannya
Oleh: Huda Hussain
LAGU Sabar yang dihasilkan oleh Omar K, Adib Hamdi dan Zyn ini telah menaikkan nama Ismail Izzani sebagai antara penyanyi muda yang punya pengaruh dan kekuatan tersendiri. Tidak kurang juga ada yang berkata suara dan lagunya mirip penyanyi dan lagu dari Indonesia. Dan terbukti percaturan anak muda bernama klasik Ismail Izzani atau lebih mesra disapa Mail ini menjadi.
Mahu terus menambat hati peminat dan memenuhi selera pendengar, percubaan dan percaturan Ismail diteruskan apabila tampil dengan single kedua, Demi Kita. Mendapat 2,0492,212 tontonan di YouTube, gemersik suaranya pasti bikin gadis muda jatuh suka kepadanya.
Genre lagu dan pembawaan yang tersendiri selain masih segar telah berjaya menempatkan namanya sebaris dengan pendatang baru dalam industri seni muzik yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Perancangan dan hala tujunya dalam industri muzik masih jauh. Mahu lebih selesa berdiri atas nama sendiri, namun bagi Ismail dia tetap tidak dapat lari daripada bayangan nama ibunya, Datin Suliza Salam, salah seorang penyanyi yang cukup popular sekitar era 80-an dahulu.
Mahu terus memanfaatkan kecanggihan dan dunia teknologi mudah alih kini seperti laman sosial, bagi Ismail ia adalah medium terbaik bagi pendatang baru sepertinya mempromosikan diri selain memperkasa bakat sedia ada juga mengintai peluang yang bisa membawa dirinya ke fasa seterusnya.
Berpendapat aliran muzik semakin berkembang, dia tidak mahu terus berada di petak selesa. Baru tamat sesi persekolahan tahun lalu, banyak yang mahu dilakukannya untuk terus merancakkan dan mewarnai industri seni sepanjang tahun ini.
Harapan InTrend semoga apa jua yang dirancang berjalan dengan baik, karier seni Ismail terus berkembang dan menghasilkan sesuatu yang bisa membanggakan semua.
Apa yang terbaru dan segar daripada Ismail Izzani?
Saya baru sahaja ‘release’ lagu Demi Kita. Ia adalah single kedua saya.
Jika diberi peluang berduet dengan penyanyi wanita senior, siapa yang menjadi pilihan dan mengapa?
Kaka Azraff kerana saya meminati genre lagu nyanyiannya.
Siapa pencabar terdekat yang memberi saingan kepada anda dan mengapa?
Sejujurnya tiada kerana niat dan tujuan saya menyertai bidang muzik bukan untuk bersaing dengan sesiapa.
Tahun 2017 baru sahaja berlalu. Pasti ada sesuatu yang manis untuk dikenang bukan? Boleh kongsikan kenangan manis sepanjang 2017?
Dapat bertemu dengan barisan selebriti tanah air dan diberi peluang menyertai industri muzik.
Jika punya waktu terluang, apa aktiviti yang sering dilakukan?
Bermain bola di padang.
Siapa penyanyi pujaan Ismail Izzani?
Afghan!
Aplikasi telefon bimbit yang digemari?
Garage bard.
Jika diberikan RM500, apa agaknya yang akan anda belanjakan?
Belanja keluarga makan di luar.
Jika bukan bergelar penyanyi, apa bidang pekerjaan yang anda akan ceburi?
Saya mungkin menjadi juruterbang.
Di mana anda 10 tahun akan datang?
Hmmm... Tidak pasti sama ada saya akan kekal dalam industri muzik atau tidak.
Apa yang selalunya anda stalk di media sosial?
Gadis berhijab, hehehe...
Genre muzik yang mencabar bagi anda dan mengapa?
Jazz, kerana ia sebuah genre malar segar. Banyak elemen dan benda baru malah jarang didengari di negara kita.
Tiga perkara menarik yang ramai orang tidak tahu mengenai anda?
Saya takut lipas, takut gelap dan suka minum Milo.
Siapa tiga tokoh yang mahu diangkat sebagai ‘living legend’ pada pandangan Ismail?
Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Faizal Tahir.
Seandainya diberi peluang untuk mengubah satu perkara mengenai diri anda, apakah ia dan mengapa?
Telinga kerana ia sedikit mengganggu. Tetapi saya tetap mensyukurinya.
Tempat atau negara mana yang paling cantik pernah anda kunjungi?
London!
Kenangan zaman kecil yang masih diingati?
Ditendang oleh kakak sulung sehingga patah gigi saya.
Jika anda seorang atlet, sukan apa yang anda ceburi?
Sukan renang!
Dalam tujuh hari seminggu, hari apa yang paling anda nantikan kehadirannya?
Jumaat!
Adakah anda seorang pemimpin atau pengikut?
Pemimpin.
Hanya dengan menggunakan tiga perkataan, huraikan bagaimana karakter dan perlambangan keluarga anda yang mahu dikongsi bersama?
Semua sangat amazing.
Dari skala 1 hingga 10, gambarkan tahap ketegasan ibu bapa anda?
Negatif 1 (-ve 1) hahaha...
Kata-kata pujian atau penghargaan yang membuatkan anda gembira atau mungkin bisa membuatkan anda berasa bangga dengannya?
‘Awak ni cutelah’ hahaha...
Jika tiada Instagram suatu hari nanti, apakah laman sosial yang boleh anda bayangkan?
Mystagram.
Pernah terfikir menjadi usahawan? Jika ya, cabang perniagaan apa yang anda ceburi?
Mencipta aplikasi Mystagram.
Imbas semula masa lalu, apakah watak animasi yang menjadi kegilaan kala zaman kanak-kanak dahulu?
Bola kampung.
Sifat kewanitaan yang perlu ada pada bakal suri hati anda?
Lemah-lembut, ayu, comel, baik hati, menyayangi ibu saya, berdikari dan bisa bikin saya ‘cair,’ hehehe...
Adakah anda seorang yang mudah jatuh cinta atau bagaimana?
Dahulu ya, tetapi sekarang saya belajar daripada kesilapan dan tidak terlalu mengharap.
Strategi untuk terus bertahan dalam industri?
Solat lima waktu sehari semalam.
Harapan dan perancangan untuk merancakkan lagi 2018?
Menunaikan umrah atau haji. Juga menggembirakan keluarga. Mungkin juga keluarkan album sendiri.
Must-Watch Video