Hari demi hari, dunia mencatatkan angka kematian yang membimbangkan (kecuali negara China) akibat daripada virus Corona atau Covid-19 ini. Setiap masa ada sahaja kes baru dilaporkan. Setakat hari ini, belum ada vaksin atau rawatan mampu dicipta oleh pakar perubatan untuk menumpaskan virus ini. Hanya yang mampu dilakukan kini adalah menyarankan perintah berkurung atau untuk sesetengah negara yang sudah kritikal diumumkan lock down.


Malaysia antara negara yang mengajurkan Perintah Kawalan Pergerakan sejak lebih seminggu yang lalu dan dilanjutkan sehingga 14 April ini. Hanya inilah satu-satunya langkah terbaik untuk memutuskan kesinambungan wabak ini daripada terus merebak. Seoerti yang sudah diduga, tidak semua rakyat mampu menurut arahan ini dengan baik. Maka, tidak hairanlah pasukan polis dan tentera terpasa dikerah untuk melakukan rondaan di setiap pelusuk kawasan hanya untuk memastikan rakyat dudui diam-diam di rumah.



Kredit Foto: Google



Selama Ini Kita Banyak Merungut


Inilah hakikatnya sikap kebanyakan orang Malaysia. Kita jarang bersyukur, malah banyak yang kita ingin rungutkan. Ada saja yang tidak cukup dan tidak kena dalam kehidupan kita seharian. Kita masih tidak mampu mengambil iktibar dari negara lain yang sedang dilanda peperangan, menghadapi krisis kebuluran, menjadi mangsa kekejaman pemerintah dan sebagainya. Kita di sini, masih berasakan semuanya belum sempurna, seolah-olah diri kita sendiri sudah cukup sempurna sebagai khalifah Allah.


Maka, ada kala Tuhan wujudkan satu ujian untuik hamba-Nya bagi membuka mata mereka. Bukan kerana Tuhan tidak sayang tetapi Tuhan mahu melihat bagaimana kita-kita ini membuka mata untuk menginsafi segala malapetaka yang diturunkan-Nya. Apakah itu masih belum cukup untuk mengubah diri kita ini, muhasabah diri dan melihat di mana kekurangan yang ada selama kita diberikan nikmat yang berlimpahan, namun tetap kita tidak tahu bersyukur.



Kredit Foto: Google



Dulu Ke Masjid Malas, Kini Ia Kosong Dikunci


Apabila kerajaan memerintahkan solat jemaah dibatalkan dan masjid ditutup buat sementara waktu, maka ramailah antara kita yang marah-marah dan mengeluh. Bagaimana keadaan masjid kalau tidak didatangi umat Islam? Ceh, sedangkan ada seorang dua yang berkata-kata itu, menjejakkan kaki sehari sekali pun tidak pernah. Apabila masjid diarahkan tutup, bukan main dia melenting!


Kenapa pada ketika masjid dibuka seluas-luasnya dulu, tidak sekali hatimu dijentik mahu mendekatinya? Kenapa tidak pernah hatta satu waktu kamu mahu mengimarahkannya? Malah, kamu sentiasa bersikap negatif terhadap para jemaah masjid itu dengan alasan mereka berlagak alim, tidak prihatin dan sebagainya. Dan, kini apabila ia sudah sunyi, tidakkah kamu gembira?




Kredit Foto: Google




Dulu, Kita Suka Cuti Dari Ke Ofis


Pelbagai jenis alasan yang kamu beri kepada bos hanya kerana kamu mahu memerap di rumah dan malas sekali mahu ke pejabat. Ada yang sengaja mengambil cuti kecemasan dan cuti sakit walaupun pada hakikatnya tiada apa-apa yang berlaku yang menghalang kamu untuk melangkah ke pejabat. Bagi kamu, itu tidak salah. Kamu hanya mahu menghabiskan masa di rumah bersama anak-anak dan suami sambil berehat. Otak pening fikir kerja, katamu.


Dan kini, apabila kerajaan menyuruh seluruh rakyat untuk duduk di rumah sehingga habis tempoh perintah, kenapa kamu terkinja-kinja pula mahu keluar? Bukankah ini yang kamu mahukan selama ini? Duduk rehat-rehat di rumah. Nah, ternyata kamu sendiri tidak tahu apa yang kamu inginkan dalam hidupmu? Tiba-tiba kamu berasakan lebih baik hidup seperti dulu, boleh bebas ke mana-mana, masuk pejabat berjumpa teman-teman dan melakukan rutin harian tanpa sekatan dan ketakutan.



Kredit Foto: Google



Nak Beli Makan Pun Berebut

Orang Malaysia dan makanan memang tidak dapat dipisahkan. Kita adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan dek kepelbagaian kaum yang kita miliki. Dan kita juga kaya dengan sumber makanan sama ada yang diimport atau eksport. Dan, apabila tiba-tiba kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan ini, maka ramailah antara kita yang panik dan gelabah sehinggakan sanggup ‘memborong’ bahan mentah dan makanan untuk dijadikan stok di rumah.


Dan, selepas itu apabila kerajaan menghadkan hanya seorang wakil ketua keluarga yang boleh keluar membeli barang makan, maka kita menjadi semakin runsing. Adakah ini petanda akan diadakan pula ‘lock down’ yang tidak membenarkan sesiapa pun keluar hatta membeli barang keperluan? Bahan makan hanya akan diberi oleh pihak berkuasa mengikut rumah sahaja. Nah, di sini sekali lagi kita harus syukuri nikmat makan dan minum yang selama ini kita perolehi tanpa sekatan atau batasan.



Kredit Foto: Google



Maka, Hargailah Segala Nikmat Yang Ada


Jadikan ini iktibar paling berguna untuk kita menjadi insan yang tahu bersyukur dan kurang merungut. Selama ini, banyak nikmat Tuhan yang kita nafikan. Kita terlalu mengejar kesempurnaan, mengejar cita-cita yang tinggi sedangkan ada saudara kita hanya mengimpikan sekeping roti untuk meneruskan hidup.


Ayuh, semua. Panjatkan doa ke hadrat Illahi agar semua bala bencana ini dapat kita akhiri dengan jayanya. Kembalilah tunduk ke sejadahmu untuk menginsafi segala kerosakan diri. Bersatu bersama tanpa mengira agama dan bangsa untuk menjayakan misi kerajaan kita menumpaskan virus Covid-19. Dan, kemudian jika ada sinar harapan selepas ini kita bebas daripada wabak ini, jangan lagi kita melakukan kerosakan di muka bumi ini.




Kredit Foto: Google