“Tak suka, unfollow!” – itu kenyataan banyak orang apabila dikecam di media sosial. Ya, masing-masing punya hak untuk memuatnaik apa saja yang dia suka kerana itu dinding sosialnya. Namun, berfikirlah secara bijak dalam bersosial secara maya ini.


Kita sudah banyak dihidangkan dengan rangkuman cerita dan isu yang berakhir dengan caci maki, pemusuhan dan perbalahan walau hanya secara digital. Ia sama juga seperti kita bersosial secara ‘real’.


Masih perlu ada adab dan tertibnya. Jangan salah bual sehingga mengundang fitnah dan umpatan. Jika boleh dicegah buat apa mahu mengubati? Jangan sia-siakan platform yang kita ada ini pada ketika bersosial secara terus menjadi halangan dek pandemik.


Kredit Foto: Google


Berpada Dalam Berkongsi, Berhemah Dalam Interaksi


Kita hidup bermasyarakat harus ada rasa sensitiviti dalam komuniti. Jangan semua kita main redah atas tiket, ‘suka hati akulah’. Kita tidak mampu hidup sendiri. Ada masanya kita pasti memerlukan sokongan orang di sekeliling untuk membantu.


Apatah lagi jika dirimu yang digelar personaliti terkenal, ahli perniagaan dan menceburi lapangan yang memerlukan sokongan orang ramai. Ya, netizen memang selalu dikaitkan dengan karekter negatif. Namun, adatlah manusia. Hatinya tak sama warna.


Namun, sebagai pemilik akaun, perkemaskanlah isi kandungan dan bersikaplah lebih matang dan tidak rugi untuk ambil masa yang lama berfikir dan timbang-timbangkan baik buruk dalam setiap perkongsian.


Seperti firman Allah SWT yang maksudnya, ”Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan-kesalahanmu).” – As-Syuraa 30.



Kredit Foto: Google



Hari Raya Nanti Mari Kita Harmonikan Media Sosial


Sangat menyedihkan apabila melihat masyakarat kita yang seagama ini bertikam lidah, berhujah dan saling berselisih pendapat dengan cara yang menggerunkan di ruang komen. Aduhai. Rasa terpempan membaca ayat-ayat yang seumpama mencampakkan diri sendiri ke ‘lubang jahanam’.


Sudah-sudalah semuanya. Kita sudah melalui sebegitu banyak ujian beberapa tahun ini terutamanya pada situasi pandemik ini. Ayuh, kita jernihkan kekeruhan yang melanda. Anggaplah semua yang berlaku untuk mencuci dosa kita yang telah lalu.


Tidak kiralah siapa pun kita, miskin atau kaya, ternama atau terbawah, kita tetap sama di sisi sang pencipta. Amal dan keburukan kita juga sama rata ditimbang dan dicatat. Tiada kebenaran si kaya mencerca si miskin. Dan tiada halalnya pula si miskin mengecam si kaya. Semuanya terpalit dosa jika melakukan ‘cela’.


Pada lebaran yang akan datang ini, diharapkan kita dapat menyambutnya dengan kesyukuran dan muhasabah diri. Cukuplah berselisih faham, keji mengeji dan bergaduh berbalah. Sungguh ia menyedihkan.


Peliharalah media sosial kita seperti kita menjaga hubungan silaturahim secara depan-depan. Jalinkan ukhwah secara maya ini dengan rasa penuh kesopanan, tertib dan beradab sopan. Jadikan ini lebaran terbaik buat kita bersama walau ditujah dek pandemik durjana.




Kredit Foto: Google